KUALA TERENGGANU - Terengganu meluluskan kenaikan purata sebanyak 100 peratus bagi kadar baharu fi dan royalti galian yang akan dikuatkuasakan bermula suku ketiga 2026.
Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, langkah itu bertujuan mengoptimumkan pulangan kepada kerajaan negeri selain memperkukuh hasil bukan cukai bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum.
Menurut beliau, langkah berkenaan dilaksanakan menerusi garis panduan penting iaitu Dasar Mineral Negeri Terengganu 2018 (Pindaan) 2025 bagi memastikan tadbir urus sektor mineral yang lebih mantap dan lestari.
"Kerajaan negeri juga giat menggalakkan pembangunan industri hiliran mineral melalui aktiviti pemprosesan dan pembuatan bagi meningkatkan nilai tambah sumber negeri.
"Menerusi Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI), kita telah mengenal pasti kawasan memproses atau mencuci Bijih Bauksit di kawasan Perasing, Daerah Kemaman. Apabila mineral diproses menjadi produk separuh siap atau siap di dalam negeri, nilai pasaran akan melonjak tinggi sekali gus meningkatkan kadar kutipan royalti," katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) mengenai tindakan kerajaan negeri bagi memastikan hasil mineral mampu menjana pendapatan utama hasil bukan cukai negeri dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Isnin.
Menyentuh mengenai penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri menggesa GLC tempatan seperti MBI dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memegang ekuiti atau saham melalui usaha sama dalam projek perlombongan besar.
"Melalui kaedah ini, kerajaan negeri bukan sahaja mendapat hasil daripada royalti, malah memperoleh pendapatan tambahan melalui agihan dividen keuntungan syarikat," katanya.
Tambahnya, kecekapan kutipan hasil turut dipertingkatkan menerusi penguatkuasaan ketat bagi memastikan tiada ketirisan berlaku.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri memberikan tumpuan khusus kepada sektor mineral sebagai hasil strategik melalui inisiatif New Income Terengganu (NIT).
"Antara langkah yang telah diambil adalah pelaksanaan Bengkel NIT bagi Hasil Bukan Cukai (Mineral) pada Ogos 2025 di Langkawi serta penganjuran pra-bengkel pada Jun 2026 bagi membincangkan Pelan Mineral Negeri Terengganu.
"Pelan ini akan menjadi dokumen rujukan utama dalam pengurusan, penerokaan, pembangunan, dan pengkomersialan sumber mineral negeri secara mampan dan mematuhi keperluan alam sekitar," katanya.