KUANTAN – Pemandu Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat penunggang motosikal Yamaha RXZ di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuantan awal pagi Sabtu tampil menjelaskan detik sebenar kejadian bagi memperbetulkan pelbagai dakwaan yang tular di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, Muhammad Irfan Aziz, 25, mendakwa dia menyedari sebuah motosikal bergerak laju dari arah belakang sebelum beberapa motosikal lain tiba dengan kelajuan tinggi sehingga menyebabkan pandangannya silau akibat cahaya lampu.
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas konvoi RXZ: Hujan, motosikal rosak punca bertolak lewat
Suasana pilu iringi pengebumian dua mangsa nahas RXZ
'Mereka suka kumpul dana bantu orang susah' - Rakan mangsa nahas ngeri RXZ
Nahas konvoi RXZ: Mangsa sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah
Menurutnya, beberapa saat kemudian bahagian belakang keretanya dirempuh, memaksanya mengawal kenderaan sebelum mengalihkannya ke lorong kecemasan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk.
"Selang beberapa saat, belakang kereta dirempuh hingga saya terpaksa mengawal kenderaan dan mengalihkannya ke lorong kecemasan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
"Selepas itu berlaku kemalangan berantai antara motosikal yang berlanggar sesama sendiri," katanya.
Muhammad Irfan berkata, sebaik memberhentikan kereta, dia sempat merakam situasi di lokasi kejadian menggunakan telefon bimbit, manakala adiknya meraung kesakitan akibat kecederaan yang dialami.
Dalam hantaran sama, beliau turut menjelaskan bahawa dia merupakan pemandu Toyota Vios terbabit, bukannya kakaknya seperti yang didakwa sesetengah pengguna media sosial.
Menurutnya, sebelum kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas menziarahi ibu saudara yang sedang menerima rawatan kanser tahap empat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Beliau berkata, ketika melalui Plaza Tol Kuantan, dia melihat sekumpulan penunggang motosikal berhimpun berhampiran plaza tol berkenaan.
"Saya memandu di lorong kanan dengan kelajuan sekitar 110 hingga 120 kilometer sejam, manakala kereta berada dalam keadaan baik, bukan rosak seperti yang didakwa sesetengah pihak," katanya.
Muhammad Irfan turut menjelaskan video tular yang memaparkan kakaknya mengeluarkan kata-kata beremosi dirakam ketika mereka masih belum mengetahui terdapat mangsa yang maut dalam kejadian itu.
Katanya, mereka memahami perasaan kehilangan kerana ibu meninggal dunia pada November tahun lalu, manakala bapa pula meninggal dunia tujuh tahun lalu, namun ketika itu emosi mereka terganggu selepas melihat adiknya mengalami kecederaan.
Beliau turut mendakwa adiknya yang cedera menahan kesakitan hampir dua jam bagi memberi laluan kepada pasukan perubatan menyelamatkan mangsa lain terlebih dahulu.
Menurutnya, mereka juga memberikan kerjasama dengan mengalihkan kereta bagi memudahkan ambulans memasuki lokasi kejadian dan tidak pernah mendesak supaya adiknya menerima rawatan terlebih dahulu.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat susulan penyebaran pelbagai maklumat palsu berkaitan insiden berkenaan di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pemandu terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas konvoi RXZ: Hujan, motosikal rosak punca bertolak lewat
Suasana pilu iringi pengebumian dua mangsa nahas RXZ
'Mereka suka kumpul dana bantu orang susah' - Rakan mangsa nahas ngeri RXZ
Nahas konvoi RXZ: Mangsa sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah