JOHOR BAHRU - Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin mempersoalkan pendirian politik Khairy Jamaluddin yang didakwa sering berubah mengikut keadaan semasa sehingga menimbulkan persoalan mengenai prinsip sebenar yang dipegangnya.
Ia susulan kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO itu yang menggesa penyokong Pakatan Harapan (PH) menyokong calon Barisan Nasional (BN).
Khairy turut mencadangkan supaya penyokong PH yang tidak mahu mengundi BN untuk tidak keluar mengundi atau memberikan undi kepada Datuk Seri Rafizi Ramli daripada Parti Bersama.
"Wajahnya mungkin baharu, ungkapannya mungkin berbeza, tetapi coraknya tetap sama. Begitulah Khairy Jamaluddin.
"Hari ini beliau tampil memberi kuliah tentang prinsip dan pilihan politik, sedangkan rekod beliau sendiri menunjukkan pendirian terhadap 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah berubah mengikut fasa politik yang dilaluinya.
"Apabila angin bertiup ke arah lain, naratifnya juga bertukar. Apa yang kekal hanyalah kepentingan politik diri beliau," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'
DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM
Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
Danish berkata, rakyat kini tidak lagi mudah terpengaruh dengan kenyataan yang dikeluarkan Khairy kerana rekod pendiriannya yang didakwa sering berubah.
Justeru, katanya, sebelum sibuk mengajar penyokong Pakatan Harapan membuat pilihan, Khairy perlu terlebih dahulu menjawab persoalan mengenai prinsip yang dipegangnya sehingga hari ini.
"Apakah prinsip sekali lagi berubah jika beliau tidak dapat bertanding di kerusi yang diidamkannya?" soalnya.
Beliau turut mendakwa hampir setiap Presiden UMNO pernah menerima kritikan tajam daripada Khairy apabila tidak bersesuaian dengan percaturan politiknya ketika itu.
"Apabila kedudukan berubah, kritikannya juga perlahan-lahan menghilang. Sebab itu rakyat semakin mudah membezakan yang mana satu Khairy Jamaluddin yang sebenar.
"Yang mengkritik Najib? Yang mempertahankan Najib? Yang mengkritik Zahid? Yang menyokong Rafizi?
"Atau yang hari ini pula mahu menjadi penasihat kepada penyokong Pakatan Harapan?
"Dalam politik, rakyat tidak takut kepada ular yang menyalin kulit. Rakyat lebih berhati-hati kepada ahli politik yang menyalin pendirian," jelasnya.