Menang tanpa bertanding amanah besar, GPS perlu balas keyakinan rakyat - Abang Johari

Iklan
Abang Johari - Foto: Bernama

GEDONG - Kemenangan tanpa bertanding calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 merupakan amanah besar yang perlu diterjemahkan kepada usaha lebih gigih untuk membalas keyakinan dan harapan rakyat, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pengerusi GPS itu berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kehendak rakyat terhadap kestabilan politik bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan.

Iklan
Iklan

"Ini satu tanggungjawab yang berat kepada yang menang kerana yakinnya rakyat kepada kita. Dan untuk itu, kita terpaksa kerja kuat kerana keyakinan sudah ada.

"Terpulang pada kita pula membalas balik harapan rakyat. Insya-Allah, di bawah pimpinan saya, saya akan teruskan usaha untuk membangunkan negeri Sarawak,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program LCDA Berambeh ke Gedong sempena Sambutan 45 Tahun Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Bersama Komuniti di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini hari ini.

Abang Johari berkata, pembangunan Sarawak perlu dilaksanakan secara adil dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama, termasuk menerusi sokongan kepada pembangunan agama, selain Islam.

Iklan

"Keadilan dari sudut kita adalah membantu agama-agama yang ada di Sarawak, selain daripada agama Islam. Jadi, inilah budaya kita,” katanya.

Pada majlis itu, Premier Sarawak turut menyempurnakan penyerahan kunci rumah di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong, serta bantuan menerusi Skim Bantuan Deposit dan Bayar Balik Rumah (HDRAS) kepada 24 pemilik, selain penyampaian cek pampasan tanah bagi beberapa projek pembangunan di Bahagian Samarahan.

LCDA turut menyalurkan sumbangan keseluruhan RM85,000 bagi menyokong aktiviti keagamaan dan kebajikan masyarakat setempat, merangkumi RM55,000 menerusi Dana Zakat Wakalah kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Gedong (LAKIG) untuk diagihkan kepada 14 institusi keagamaan Islam termasuk masjid, surau dan madrasah, serta RM30,000 menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi manfaat 20 gereja di Gedong. - Bernama