SUNGAI PETANI - Penglibatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Noor dalam filem 'The Keris' tiada kaitan politik atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan mengharapkan pihak tertentu tidak mengaitkannya dengan isu terbabit.
Penerbitnya, Dr T Matheyalagan mendakwa, terdapat segelintir pihak didakwa dengan sengaja mengaitkan penglibatan figura berkenaan dengan penglibatan politik beliau sehingga menjejaskan tayangan filem tersebut.
"Di sini saya ingin tegaskan bahawa filem The Keris tidak ada kena-mengena dengan isu politik atau dikaitkan dengan PRN Johor.
"Saya amat sedih apabila perkara ini dipolitikkan. Saya lihat komen-komen media sosial sangat keterlaluan. Saya sahkan tiada apa-apa watak atau dialog berunsurkan politik," katanya.
Beliau berkata, perkara itu telah memberi kesan langsung terhadap tayangan filem tersebut di seluruh negara apabila ada pihak memburukkan watak Muhammad Sanusi dalam filem berkenaan.
"Kritikan di media sosial sangat keterlaluan... sebagai seorang penerbit India, saya juga warganegara Malaysia dan inilah tanah air saya, jadi apa salahnya saya buat filem ini...saya faham ada kelemahan di pihak saya, saya minta maaf tetapi janganlah sampai melemparkan tuduhan tidak berasas," jelasnya.
Beliau menjelaskan, penampilan khas menteri besar itu tidak dibayar sebaliknya sebahagian kutipan akan disumbangkan kepada Tabung Tunku Mahmud bagi membiayai pengajian pelajar kurang berkemampuan.
"Jadi bagi saya, ini satu kerugian kalau orang Melayu tak tengok, saya sebagai orang India, bangga dengan apa yang saya buat...walaupun ada kekurangan, tapi saya bangga dapat menghasilkan filem sebegini rupa, membangkitkan semangat Melayu, persilatan Melayu, keris Melayu dan sebagainya.
"Saya harap di luar sana, pengkritik-pengkritik, usah kaitkan filem ini dengan politik kerana tiada kaitan langsung," katanya.