'Ralat tidak mampu sara keluarga' – Serangan jantung jejas kehidupan tukang perabot

Iklan
Muhammad Irfan menunjukkan keadaan tangan dan kaki Nor Sadri yang membengkak disebabkan oleh masalah kesihatan dihidapinya.

ALOR SETAR– Kehidupan seorang tukang perabot berubah apabila mengalami serangan jantung September tahun lalu menyebabkan tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu sehingga terpaksa bergantung kepada pendapatan isteri dan bantuan zakat untuk meneruskan kehidupan.

Nor Sadri Ahmad, 54, berkata, keadaan kesihatannya semakin merosot selepas diserang penyakit itu apabila kedua-dua kaki dan tangan membengkak selain perutnya semakin membesar sehingga menyukarkannya bergerak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan dia tidak lagi berupaya melakukan kerja-kerja yang sebelum ini menjadi punca pendapatan utama keluarga.

“Saya bukan tak mahu bekerja tetapi badan memang dah tak larat. Jalan sikit pun cepat penat.

Iklan

“Saya rasa ralat sebab dah tak mampu cari duit untuk keluarga kerana itu tanggungjawab saya. Sebelum ini saya bekerja, sekarang semuanya terpaksa ditanggung isteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Raja, di sini.

Nor Sadri berkata, isterinya yang bekerja sebagai pembantu taska hanya memperoleh pendapatan sekitar RM500 hingga RM600 sebulan.

Iklan

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarga termasuk keperluan empat anak mereka yang berusia antara sembilan hingga 18 tahun.

“Alhamdulillah, kami ada menerima bantuan zakat kira-kira RM500 sebulan dan bantuan itu dapat meringankan sedikit beban terutama untuk keperluan persekolahan anak-anak,” ujarnya.

Nor Sadri melihat rumahnya yang dibina sedikit demi sedikit sejak 10 tahun lalu dan keadaan kewangan yang terbatas menyebabkan kerja-kerja menyiapkannya tidak dapat diteruskan.

Dalam pada itu, Nor Sadri berkata, keluarganya turut berdepan cabaran untuk menyiapkan rumah sendiri yang dibina secara berperingkat sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Menurutnya, rumah berkenaan dibina sedikit demi sedikit hasil usaha sendiri selain bantuan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya ada sebuah rumah yang dibina sedikit demi sedikit. Namun sehingga kini ia masih belum dapat didiami kerana memerlukan kerja-kerja pemasangan siling bumbung, tingkap dan bekalan air.

“Keadaan kewangan yang terbatas menyebabkan kerja-kerja menyiapkan rumah itu tidak dapat diteruskan,” katanya lagi.

Dia yang telah menetap di rumah sewa sejak 24 tahun lalu berharap ada pihak tampil membantu menyiapkan kediaman tersebut agar keluarganya dapat berpindah dalam masa terdekat.

“Sekurang-kurangnya jika bekalan air dapat disediakan, kami sekeluarga boleh mula berpindah dan tinggal di rumah sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, Nor Sadri turut berharap pihak hospital dapat mempercepatkan rawatan susulan dan pembedahan yang mungkin diperlukan bagi membolehkannya kembali sihat.

Jelasnya, dia berharap dapat sembuh dan bekerja semula seperti biasa kerana mahu terus menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Selain memikirkan soal kesihatan dan tempat tinggal, Nor Sadri juga menyimpan harapan untuk melihat anak sulungnya, Muhammad Irfan dapat melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran seperti kimpalan di mana-mana institusi latihan.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Rakyat 220321515841 atas nama Nor Sadri Ahmad.