GEORGE TOWN – Barang kes bernilai keseluruhan RM1.27 juta membabitkan 565 kertas siasatan akan dilupuskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 10 Julai ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pelupusan itu melibatkan pelbagai barang kes yang dirampas hasil operasi penguatkuasaan bagi tempoh 2010 hingga 2017.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, BSJD Timur Laut melupuskan barang kes membabitkan 218 kertas siasatan terdiri daripada 15 kes kontraban, sembilan kes hiburan (noda) dan 194 kes perjudian (dadu) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM120,146.
“BSJKD Timur Laut pula melupuskan barang kes VCD dan DVD lucah membabitkan 347 kertas siasatan dengan nilai dianggarkan RM1,156,032.
“Secara keseluruhannya, pelupusan barang kes melibatkan nilai RM1,276,178.38 membabitkan 565 kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, semua barang kes yang dilupuskan merupakan hasil rampasan daripada pelbagai operasi membanteras mesin perjudian, penjualan nombor ekor haram, kegiatan maksiat dan noda, operasi kontraban serta Op Ostrich.
"Antara barang kes yang akan dilupuskan ialah minuman keras, rokok, peralatan hiburan serta VCD dan DVD.
"Semua barang kes berkenaan telah mendapat perintah pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah," ujarnya lagi.
Dennis Lim berkata, pelupusan barang kes merupakan proses penting dalam pengurusan penyiasatan bagi memastikan stor simpanan barang kes sentiasa teratur dan selamat.
“Ia juga dapat mengelakkan risiko penyalahgunaan barang kes selain mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap polis.
“Proses ini mencerminkan komitmen berterusan polis dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.