Stor haram e-waste diserbu, 11 warga asing ditahan

Iklan
Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan digunakan sebagai stor penyimpanan dan pemprosesan bahan e-waste tanpa lesen yang sah.

BUKIT MERTAJAM – Sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram di Lorong Pengkalan Indah, Bukit Tengah di sini diserbu dalam operasi bersepadu pada Ahad.

Dalam operasi kira-kira jam 11.55 pagi itu, polis turut menahan 11 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintenden Norazizi Saad berkata, operasi Op Hazard itu dijalankan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan digunakan sebagai stor penyimpanan dan pemprosesan bahan e-waste tanpa lesen yang sah.

Iklan

“Pemeriksaan lanjut oleh JAS menemukan 80 blok padat sisa elektronik serta lapan beg jumbo yang mengandungi komponen komputer dan papan induk.

“Sampel bahan berkenaan telah diambil untuk tujuan analisis dan pengesahan di bawah kod buangan terjadual,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Antara barangan e-waste yang dirampas dalam operasi yang dijalankan pada Ahad.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat oleh JAS mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Dalam operasi sama, MBSP turut mengeluarkan dua kompaun terhadap premis berkenaan kerana menjalankan aktiviti penyimpanan barang tanpa lesen yang sah," ujarnya.

Mengulas penahanan warga asing itu, Norazizi berkata, siasatan awal mendapati 10 daripada mereka disyaki melanggar syarat pas manakala seorang lagi disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua mereka direman selama 14 hari bermula 7 hingga 20 Julai bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan, polis akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras aktiviti pemprosesan e-waste secara haram.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi memelihara keselamatan, kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.