Kekangan kewangan: LPT3 dicadang dilaksana secara kerjasama awam swasta - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad Maslan. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Cadangan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) secara kerjasama awam swasta (PPP) dibuat berikutan kekangan kewangan Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Selain itu, katanya, LPT3 dilihat sebagai laluan alternatif memandangkan pengguna Pantai Timur bakal mempunyai pilihan lain apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) siap kelak.

Iklan
Iklan

"Tidak lama lagi ECRL akan siap, ia bakal menjadi antara alternatif kepada rakyat Pantai Timur untuk pergi ke Lembah Klang dan apabila nanti KBKK dan LTU siap, ia juga satu lagi alternatif. Jadi ini (LPT3) alternatif ketiga,” katanya pada Sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai kriteria pelaksanaan LPT3 secara PPP serta garis masa projek itu.

Iklan

Ahmad berkata, projek berkenaan dicadangkan dilaksanakan secara PPP menggunakan proses Bidaan Bersaing (Request for Proposal) dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.

Bagaimanapun, katanya, kadar tol bagi LPT3 masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk kos pembinaan, pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan, unjuran trafik serta tempoh konsesi.

Iklan

Beliau berkata, LPT3 melibatkan jajaran sepanjang 122 kilometer dan dua lorong dua hala, dengan anggaran kos pembangunan berdasarkan kajian 2022 sebanyak RM9.8 bilion.

Lebuh raya itu akan mempunyai lima persimpangan bertingkat dan jajaran bermula di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga Tunjung, Kota Bharu.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, tempoh konsesi, sistem dan gantri tol masih belum dimuktamadkan. - Bernama