BANTING - Siasatan kes tikam membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Mengulas kejadian itu, Mohd Akmalrizal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 9.50 pagi memaklumkan terdapat seorang pelajar perempuan cedera di dalam kawasan sekolah.
Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis-JPN
Remaja perempuan tikam pelajar di sekolah ditahan polis
'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah
Kes tikam pelajar: Suasana sekolah tenang
Pelajar ditikam: 'Anak saya bukan sasaran, kebetulan berada berhampiran suspek' - Bapa