KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru (PMTB) bersedia bertindak sebagai badan semak dan imbang kepada kerajaan negeri memandangkan Terengganu tidak mempunyai barisan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Penasihat PMTB, Datuk Muda Mamat berkata, peranan itu penting memandangkan generasi baharu di negeri ini mahu memastikan jaminan masa hadapan mereka lebih terbela, terutamanya dari segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan serta keperluan asas seperti pendapatan dan penyediaan rumah mampu milik.
Menurut beliau, walaupun Terengganu sering diuar-uarkan sebagai sebuah 'negeri bahagia', namun hakikat yang perlu diterima ialah taraf hidup masyarakatnya masih lagi jauh ketinggalan.
"Dari segi keagamaan, tumpuan juga mesti diberikan kepada kefahaman tentang Islam yang merangkumi kemajuan kehidupan di dunia dan akhirat.
"Soal ekonomi, sains dan teknologi serta kemajuan yang setaraf dengan negara maju adalah perkara yang berkait rapat dengan agama Islam yang syumul, iaitu meliputi keseluruhan aspek kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PMTB Sesi 2 (2025-2027) dan Wacana Ilmu bertajuk “Kuasa Politik Melayu – Adakah Masih Berkuasa” di sini pada Sabtu.
Wacana tersebut diadakan sempena Mesyuarat Agung Kali Kedua pertubuhan berkenaan yang turut dihadiri tokoh akademik, bekas-bekas pegawai tadbir negeri, ahli politik serta golongan profesional lain.
Muda mendakwa, kekangan peluang di negeri sendiri menyebabkan ramai anak watan Terengganu terpaksa berhijrah ke luar demi kelangsungan kerjaya dan masa depan.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar kerajaan negeri mengambil langkah yang lebih serius bagi mengatasi isu penghijrahan tersebut daripada terus berlarutan.
"Begitu juga dari segi pendidikan, kerajaan negeri mesti serius membantu pelajar dan guru yang berhempas-pulas setiap kali menjelang peperiksaan untuk mengekalkan kecemerlangan, dan bukan sekadar menuntut kredit apabila kejayaan berjaya dicapai," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PMTB, Datuk Muhatar Abdullah menyatakan, pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan dan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak, asalkan ia dapat membela kepentingan rakyat Terengganu.
Untuk rekod, PMTB yang ditubuhkan pada 2025 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan matlamat membawa Terengganu dan rakyatnya ke arah pembaharuan serta kecemerlangan, merangkumi aspek ekonomi dan sosial.
Pada mesyuarat agung tersebut, pertubuhan itu turut meluluskan beberapa pindaan perlembagaan bagi memperkasakan lagi peranan mereka.
Antara pindaan yang diputuskan termasuklah komitmen PMTB untuk menyokong usaha murni mana-mana pihak yang membawa kemajuan kepada rakyat, selain hak untuk menjalankan kajian, wacana, forum, seminar, penerbitan, kenyataan media, memorandum serta aktiviti berkaitan sosioekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
Selain itu, PMTB menegaskan pendirian mereka untuk menentang sebarang tindakan yang boleh memecahbelahkan umat Islam, termasuk perbuatan memperalatkan agama demi kepentingan politik dengan tafsiran yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.