Penjawat awam rugi lebih RM22,000 diperdaya 'Fidah' dan 'Liza'

Iklan
Seorang penjawat awam berputih mata selepas kerugian RM22,033.56 akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam berputih mata selepas kerugian RM22,033.56 akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di laman sosial Facebook, pertengahan bulan lalu.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 15 Jun lalu apabila wanita tersebut tertarik dengan sebuah pelaburan selepas melihat iklan yang dimuat naik oleh satu akaun ketika berada di Chendering, di sini.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, mangsa tertarik untuk menyertai skim tersebut setelah dijanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.

"Mangsa menghubungi seorang wanita melalui talian yang menggelarkan dirinya sebagai 'Fidah'. Bagi memulakan pelaburan, mangsa telah melakukan transaksi pertama berjumlah RM300 ke sebuah akaun pada 25 Jun.

Iklan

​"Selepas pembayaran awal itu dibuat, mangsa telah dihubungkan pula dengan seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Liza' selaku pentadbir pelaburan berkenaan.

​"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudiannya diarah untuk melakukan beberapa lagi transaksi pemindahan wang ke dalam lima akaun bank yang berbeza bagi meneruskan pelaburan tersebut," katanya di sini pada Rabu.

Iklan

​Azli berkata mangsa juga telah melakukan transaksi kedua sebanyak RM1,300 ke sebuah akaun pada 27 Jun lalu, diikuti transaksi ketiga pada hari yang sama berjumlah RM2,487.91 ke akaun lain.

"​Seterusnya pada 29 Jun, mangsa melakukan dua lagi transaksi sebanyak RM4,642.57 dan RM5,803.08. Transaksi terakhir dibuat pada 30 Jun jam 10.33 pagi membabitkan wang sebanyak RM7,500," ujarnya.

​Bagaimanapun, Azli berkata, mangsa akhirnya menyedari dirinya telah ditipu selepas diminta untuk melakukan bayaran tambahan sejurus selepas transaksi terakhir itu selesai dilakukan.

​"Menyedari wang pelaburan dan keuntungan yang dijanjikan tidak wujud, mangsa tampil membuat laporan polis selepas mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM22,033.56.

​"Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," ujarnya.

"Mangsa yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu tertarik untuk menyertai skim tersebut setelah dijanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat. Dia kemudiannya membuat enam transaksi berjumlah RM20,033.56 ke enam akaun bank berbeza bermula 25 hingga 30 Jun lepas menggunakan wang simpanan.