Kanak-kanak OKU hilang ditemui lemas dalam parit kebun

Iklan
Muhammad Faith Fatih Abdul Fattah merupakan orang kurang upaya (OKU) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

BAGAN DATUK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Baru, Sungai Sumun di sini ditemui lemas di dalam parit kebun kelapa sawit berhampiran pada malam Selasa.

Difahamkan mangsa, Muhammad Faith Fatih Abdul Fattah merupakan orang kurang upaya (OKU) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian yang terletak kira-kira 330 meter dari rumahnya.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jam 6.24 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang tiba di lokasi tujuh minit kemudian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Iklan

"Siasatan awal mendapati bapa mangsa menyedari kehilangan anaknya selepas mendapati kanak-kanak itu tiada di dalam rumah manakala pintu hadapan rumah berada dalam keadaan terbuka.

"Bapa mangsa kemudian melakukan pencarian di sekitar rumah dan kawasan kebun kelapa sawit berhampiran, namun gagal menemui anaknya sebelum membuat laporan polis pada jam 3.30 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sabarodzi berkata, operasi SAR melibatkan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan orang awam.

Katanya, pihak polis turut menggunakan seekor anjing pengesan K9 bagi membantu pencarian di kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumah mangsa.

"Kanak-kanak itu kemudiannya ditemui meninggal oleh orang awam sekitar jam 10.08 malam di dalam kawasan kebun kelapa sawit berkenaan.

"Pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi yang melibatkan 10 anggota BBP Hutan Melintang dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti Kembara itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.11 malam.