KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang pemandu lori untuk meraih pendapatan sampingan membawa padah apabila wang dipinjam daripada rakan berjumlah RM80,580 'lebur' selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dan kerja sambilan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa lelaki berusia 35 tahun jam 3.28 petang pada Selasa.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa mula tertarik dengan satu iklan tawaran pendapatan sampingan di laman sosial Facebook pada 3 Jun lalu.
"Mangsa kemudian beralih ke aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat.
"Pengadu telah diterangkan mengenai tugasan yang perlu dilakukan, iaitu hanya perlu klik pada barangan di dalam sistem yang disediakan oleh pihak terbabit.
Beliau berkata, taktik sindiket itu mula berubah selepas mangsa dimaklumkan bahawa tugasan yang dilakukannya telah berjaya menjana keuntungan besar mencecah RM400,000.
"Mangsa yang terpedaya dan percaya akan menerima wang keuntungan tersebut kemudiannya diarahkan untuk membuat bayaran proses pengeluaran.
"Demi mendapatkan wang kemenangan 'palsu' itu, mangsa telah melakukan 21 transaksi pemindahan wang yang kesemuanya berjumlah RM80,580 ke dalam enam akaun bank berbeza. Transaksi berkenaan dilakukan secara berperingkat bermula 11 Jun sehingga 22 Jun lalu," ujarnya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek masih berterusan meminta dia melakukan pemindahan wang tambahan, manakala keuntungan yang dijanjikan langsung tidak diterima.
Jelasnya, mangsa mendedahkan bahawa kesemua wang berjumlah RM80,580 yang lebur itu merupakan wang yang dipinjam daripada rakan-rakannya.
"Kes kini disiasat oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hafieri Ismail di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pemilik akaun keldai dan dalang di sebalik sindiket berkenaan," katanya.