Minyak sawit dijual di pasaran gelap untuk pelincir tiruan terbongkar

Iklan
Siasatan awal mendapati minyak sawit mentah berkenaan diperoleh daripada beberapa kilang pemprosesan kelapa sawit di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor sebelum dijual kepada pembeli di pasaran gelap.

KLANG - Kegiatan menjual minyak sawit mentah di pasaran gelap untuk dijadikan bahan campuran minyak pelincir kenderaan tiruan serta digunakan dalam upacara keagamaan terbongkar menerusi serbuan sebuah premis di kawasan perindustrian Bandar Sultan Suleiman 2, Pelabuhan Klang pada Isnin.

Serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dengan kerjasama pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Tengah serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Klang Utara.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh berkata, serbuan tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 48 dan 49 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara tidak sah.

Menurutnya, suspek pertama merupakan pemandu lori tangki warga tempatan manakala suspek kedua ialah warga Sri Lanka yang bekerja sebagai pembantu dalam proses pemindahan minyak sawit daripada lori tangki ke tong drum.

Iklan

"Hasil pemeriksaan menemukan sebuah lori treler tangki bersaiz 40 kaki bersama cecair disyaki minyak sawit mentah berjumlah kira-kira 36,045 liter serta beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak secara haram.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati minyak sawit mentah berkenaan diperoleh daripada beberapa kilang pemprosesan kelapa sawit di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor sebelum dijual kepada pembeli di pasaran gelap.

Iklan

"Pembeli terbabit terdiri daripada individu yang berbeza dan kebanyakannya beroperasi di sekitar Selangor.

"Minyak sawit mentah itu dipercayai dijual semula untuk dijadikan bahan campuran minyak pelincir kenderaan tiruan selain digunakan dalam upacara keagamaan tertentu," katanya.

Amanjit berkata, suspek pertama dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan menerima gaji bulanan kira-kira RM3,000 sebagai pemandu lori.

"Suspek juga dipercayai memperoleh bayaran tambahan sebanyak RM35 bagi setiap 15 liter minyak sawit mentah yang berjaya dijual secara haram.

"Suspek kedua dipercayai telah bekerja di lokasi terbabit selama lapan bulan dengan menerima gaji bulanan RM1,700 sebagai pekerja yang mengendalikan proses pemindahan minyak daripada lori tangki ke tong drum," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan MPOB Wilayah Tengah untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah.