Mahkamah AS putuskan Ohio boleh sekat penggunaan media sosial oleh kanak-kanak

Iklan
Syarikat media sosial, termasuk Instagram milik Meta Platforms, mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum membenarkan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun di Ohio menggunakan platform mereka - Foto fail Reuters

KUALA LUMPUR - Negeri Ohio dibenarkan melaksanakan undang-undang yang mewajibkan syarikat media sosial, termasuk Instagram milik Meta Platforms, mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum membenarkan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun menggunakan platform mereka, menurut keputusan Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Panel hakim dengan keputusan 2-1 di Mahkamah Rayuan Litar Ke-6 AS yang berpangkalan di Cincinnati membatalkan keputusan mahkamah rendah yang sebelum ini menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu atas permintaan kumpulan perdagangan industri teknologi, NetChoice. Panel berkenaan mendapati undang-undang itu tidak melanggar perlindungan kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS.

Iklan
Iklan

NetChoice dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah itu mengancam privasi dalam talian dan hak perlembagaan penduduk Ohio, namun kumpulan itu"masih yakin sepenuhnya bahawa undang-undang yang tidak berperlembagaan ini akhirnya akan dibatalkan secara kekal."

Peguam Negara Ohio Andy Wilson berkata keputusan itu"memberi ibu bapa mekanisme untuk terlibat dan menjalankan pengawasan."

Iklan

Keputusan itu dibuat ketika kerajaan di seluruh dunia, termasuk di Australia, mengambil langkah untuk mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial susulan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan penggubal undang-undang mengenai kesan platform berkenaan terhadap kesihatan dan keselamatan golongan muda.

Kes di Ohio merupakan antara beberapa cabaran undang-undang yang dibawa oleh NetChoice bagi menghalang negeri daripada melaksanakan undang-undang yang menurut pihak berkuasa perlu untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko kesihatan mental yang dikaitkan dengan media sosial.

Iklan

Undang-undang Ohio yang dikenali sebagai Akta Notifikasi Media Sosial Untuk Ibu Bapa diluluskan oleh badan perundangan negeri itu pada 2023 dan berkuat kuasa pada Januari 2024 sebelum pelaksanaannya disekat oleh Hakim Daerah AS Algenon Marbley.

Undang-undang itu mewajibkan pengendali laman sesawang yang boleh diakses oleh kanak-kanak bawah 16 tahun mengesahkan umur pengguna. Ia turut menetapkan 11 kriteria bagi menentukan sama ada sesuatu laman sesawang tertakluk kepada definisi itu, selain beberapa pengecualian.

NetChoice, yang ahlinya termasuk TikTok, YouTube serta Facebook dan Instagram milik Meta Platforms berhujah bahawa undang-undang itu terlalu kabur dan secara tidak wajar mengehadkan akses kanak-kanak kepada kandungan yang dilindungi oleh Pindaan Pertama.

Namun, Hakim Litar AS, Eric Clay dalam penghakiman utama berkata walaupun undang-undang itu mengenakan sedikit beban terhadap kebebasan bersuara yang dilindungi dan mengehadkan cara syarikat media sosial mengedarkan kandungan mereka, ia digubal secara khusus bagi memenuhi kepentingan Ohio untuk melindungi kanak-kanak.

"Pada asasnya, Akta ini mengenakan syarat kebenaran ibu bapa," katanya."Keperluan itu merupakan beban minimum yang secara tepat menyasarkan masalah yang dikenal pasti Ohio, iaitu persetujuan kanak-kanak tanpa pengawasan terhadap terma dan syarat penggunaan platform yang mengambil kesempatan dan memudaratkan mereka." - Bernama/Reuters