Hospital moden tak bermakna jika doktor terus berkurangan

Iklan
Hospital baharu tanpa pelan sumber manusia mantap ibarat membeli bas baharu tanpa pemandu.

SETIAP kali melalui Lebuhraya Pesisir Barat (WCE) susur ke Kapar dan Meru, mata pasti tertumpu pada Hospital Kapar. Bentuk bangunannya yang unik seolah-olah blok permainan yang disusun-susun menarik perhatian.

Dijangka siap pada Mac 2027, hospital berkenaan bakal dilengkapi 312 katil dan memiliki pelbagai kepakaran kemudahan klinikal.

Iklan
Iklan

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hospital berkenaan dibina dengan visi strategik sebagai pusat rujukan penyakit berjangkit dan kecemasan.

Katanya, kemudahan yang disediakan adalah langkah proaktif dalam meningkatkan kesiapsagaan negara bagi menghadapi cabaran penyakit berjangkit pada masa akan datang.

Iklan

Malah, hospital berkenaan turut memiliki fasiliti khusus yang dilengkapi dengan isolation ward dan infectious operating theatre (OT) serta bilik autopsi berstatus Biosafety Level 3 (BSL-3).

Kemudahan kesihatan awam baharu itu juga dijangka mampu mengurangkan kesesakan di hospital berhampiran terutama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Iklan

Namun di sebalik bangunan yang bakal menjadi mercu tanda baharu itu, timbul satu persoalan besar, adakah hospital baharu mampu berfungsi dengan baik? Adakah tenaga kerjanya mencukupi untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit yang semakin meningkat?

Perkara ini pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau dan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali. Masalah yang mereka suarakan bukan berkaitan bangunan usang atau kekurangan peralatan, tetapi kekurangan doktor, pegawai perubatan dan jururawat yang semakin meruncing di HTAR.

Hakikatnya, hospital tidak beroperasi dengan batu-bata dan simen. Hospital bergerak dengan tenaga manusia.

Bayangkan sebuah jabatan yang menguruskan ratusan pesakit setiap hari tetapi hanya mempunyai bilangan doktor yang terhad.

Akibatnya, doktor terpaksa bekerja lebih masa, melakukan enam hingga tujuh syif on-call sebulan dan mengendalikan pelbagai tugas serentak. Dalam keadaan sebegini, risiko keletihan melampau atau burnout menjadi sesuatu yang sukar dielakkan.

Lebih membimbangkan, tekanan kerja berpanjangan memberi kesan langsung kepada kualiti rawatan. Apabila seorang doktor perlu menguruskan terlalu ramai pesakit dalam satu masa, kemungkinan berlaku kelewatan rawatan atau kesilapan klinikal meningkat.

Bukan kerana mereka tidak cekap, tetapi kerana kapasiti manusia mempunyai hadnya.

Pembinaan hospital baharu memang penting untuk menampung pertambahan penduduk dan mengurangkan kesesakan, tetapi ia bukan penyelesaian mutlak jika isu tenaga kerja tidak ditangani secara serentak.

Malah, terdapat kebimbangan Hospital Kapar sendiri mungkin berdepan masalah sama apabila mula beroperasi. Jika kakitangan hanya dipindahkan dari hospital sedia ada tanpa pertambahan tenaga kerja mencukupi, kesesakan mungkin hanya berpindah lokasi, bukannya selesai.

Dalam erti kata lain, hospital baharu tanpa pelan sumber manusia mantap ibarat membeli bas baharu tanpa pemandu.

Apa yang diperlukan ialah perancangan jangka panjang lebih menyeluruh. Kerajaan perlu mempunyai unjuran jelas tentang jumlah doktor, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan sokongan yang diperlukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Pengambilan, latihan dan pengekalan tenaga kerja kesihatan perlu bergerak seiring pembangunan infrastruktur.

Pembinaan Hospital Kapar sememangnya berita baik, namun kejayaan sesebuah hospital tidak diukur pada kecanggihan bangunan atau jumlah katil semata-mata. Ukuran sebenar adalah kemampuan memberikan rawatan berkualiti kepada pesakit.

*Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian