Rohingya: Sampai bila Malaysia menanggung beban?

Iklan
Malaysia telah lama bertindak sebagai negara transit de facto kepada pelarian Rohingya. Gambar hiasan

KRISIS pelarian Rohingya bukan isu baharu bagi Malaysia. Lebih sedekad negara ini menjadi antara destinasi utama pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan dan konflik di Myanmar.

Atas pertimbangan kemanusiaan, Malaysia membuka ruang perlindungan sementara walaupun tidak pernah menjadi negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Iklan
Iklan

Namun persoalan makin lantang dibangkitkan ialah: Sampai bila Malaysia perlu memikul beban ini?

Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951. Dari sudut perundangan antarabangsa, Malaysia tidak terikat untuk menyediakan hak khusus kepada pelarian seperti peluang pekerjaan formal, pendidikan awam atau laluan penempatan tetap.

Iklan

Undang-undang negara pula tidak membezakan antara pelarian dan pendatang tanpa dokumen.

Sebaliknya, lebih 140 negara di seluruh dunia telah meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Dengan menjadi negara pihak, mereka menerima tanggungjawab undang-undang untuk melindungi pelarian melalui sistem suaka yang tersusun, termasuk proses penentuan status, hak perlindungan asas serta program penempatan semula.

Iklan

Di sinilah timbul persoalan mengenai keadilan dalam perkongsian tanggungjawab antarabangsa.

Malaysia telah lama bertindak sebagai negara transit de facto kepada pelarian Rohingya. Walaupun bukan penandatangan konvensyen, negara ini tetap membenarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) beroperasi untuk mendaftarkan dan menguruskan pelarian.

Dalam banyak keadaan, akses rawatan kesihatan dan pendidikan tidak formal turut diberikan melalui inisiatif masyarakat sivil. Namun, kemurahan hati mempunyai batas.

Dalam suasana kos sara hidup yang meningkat dan kebimbangan rakyat terhadap aspek keselamatan serta persaingan ekonomi, sentimen terhadap pelarian menjadi semakin kompleks.

Atas sebab itu, cadangan agar pelarian Rohingya dihantar ke negara-negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 wajar dilihat sebahagian usaha mengagihkan tanggungjawab secara lebih adil, bukannya sebagai tindakan menolak nilai kemanusiaan.

Negara-negara maju yang mempunyai sistem suaka, sumber kewangan dan kapasiti integrasi lebih kukuh sewajarnya memainkan peranan lebih besar.

Penempatan semula ke negara ketiga bukan perkara baharu dalam pengurusan pelarian global. Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan beberapa negara Eropah pernah melaksanakan program sedemikian menerusi kerjasama dengan UNHCR. Bagaimanapun, realitinya tidak semudah yang disangka.

Banyak negara penandatangan kini mengetatkan dasar imigresen susulan tekanan politik domestik, kebangkitan sentimen antipendatang dan kebimbangan terhadap keselamatan. Kuota penempatan semula juga makin terhad menyebabkan proses pemindahan mengambil masa bertahun-tahun.

Justeru, menghantar pelarian Rohingya ke negara penandatangan tidak boleh dilaksana secara unilateral atau tergesa-gesa. Ia memerlukan rundingan diplomatik, persetujuan negara penerima, saringan keselamatan serta penyelarasan UNHCR.

Dalam masa sama, masyarakat antarabangsa juga tidak boleh terus mengharapkan negara-negara bukan penandatangan seperti Malaysia, Bangladesh dan Indonesia menjadi benteng utama krisis pelarian serantau.

Malaysia tidak harus dipersalahkan jika menuntut pembahagian tanggungjawab lebih seimbang. Negara juga perlu memastikan dasar berkaitan pelarian dilaksana secara berperikemanusiaan.

*Muhammad Shamsul Abd Ghani ialah Wartawan Sinar Harian