KEMATIAN dua anggota tentera ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun pada Selasa bukan sekadar satu statistik dalam rekod ketenteraan negara.
Tragedi yang meragut nyawa Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 21, menjadi peringatan tentang harga sebenar yang perlu dibayar oleh anggota keselamatan demi memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
Bagi masyarakat awam, tugas seorang anggota tentera sering dikaitkan dengan ancaman di medan perang atau operasi keselamatan.
Namun hakikatnya, risiko kehilangan nyawa juga boleh berlaku ketika latihan, iaitu fasa yang dianggap paling penting dalam membentuk keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan.
Tragedi di Kem Hobart turut mengimbau kembali sejarah hitam yang pernah menyelubungi kem berkenaan.
Pada 9 Julai 1987, sembilan anggota Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terkorban dalam letupan ketika latihan, manakala setahun kemudian seorang lagi anggota daripada Batalion ke-10 RAMD maut dalam insiden serupa.
Selepas hampir empat dekad, tragedi kembali berulang di lokasi yang sama, sekali gus mengingatkan bahawa risiko dalam dunia ketenteraan tidak pernah lenyap sepenuhnya.
Namun, perbincangan mengenai tragedi ini tidak seharusnya terhad kepada persoalan teknikal atau prosedur semata-mata sebaliknya pengorbanan anggota tentera yang sanggup mempertaruhkan nyawa dalam setiap latihan bagi memastikan mereka bersedia menghadapi sebarang ancaman terhadap negara.
Latihan ketenteraan bukan sekadar rutin harian, ia melibatkan penggunaan senjata, bahan letupan dan simulasi situasi peperangan yang memerlukan disiplin tinggi serta ketahanan mental dan fizikal.
Setiap anggota yang menyertai latihan sedar bahawa mereka berdepan risiko tertentu, namun tetap melaksanakannya atas dasar tanggungjawab dan sumpah setia kepada negara.
Dalam konteks itu, pemergian mangsa wajar dilihat sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mereka, malah kepada institusi pertahanan negara.
Tragedi itu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh aspek keselamatan latihan ketenteraan.
Setiap insiden yang berlaku harus dijadikan pengajaran untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP), memperkemaskan pengurusan risiko serta memastikan setiap fasiliti latihan berada pada tahap keselamatan terbaik.
Dalam dunia ketenteraan moden, keseimbangan antara kesiapsiagaan tempur dan keselamatan anggota perlu sentiasa diberikan perhatian.
Kecekapan pasukan pertahanan tidak hanya diukur melalui kemampuan menghadapi musuh, tetapi juga melalui keupayaan melindungi anggotanya ketika menjalani latihan.
Tragedi itu juga mengingatkan rakyat bahawa keamanan yang dinikmati hari ini bukan diperoleh tanpa pengorbanan.
Di sebalik setiap latihan dan persiapan ketenteraan, ada anggota yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan negara terus aman dan berdaulat.
Pengorbanan mereka mungkin tidak disaksikan di medan perang, namun nilai keberanian dan dedikasi yang ditunjukkan tetap sama.