"Cantik rupamu
Cantik rupamu dipandang mata
Bagai biduan
Bagi biduan dari syurga..."
Begitulah indahnya antara lirik lagu"Azizah" nyanyian legenda seni tanah air, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia.
Lagu itu menggambarkan seorang wanita bernama Azizah yang cantik, manis dan menjadi pujaan ramai.
Bagaimanapun, nama Azizah yang menjadi sebutan rakyat Malaysia bukan kerana kecantikan atau kelembutan budi sejak kebelakangan ini, sebaliknya kerana kontroversi yang mencetuskan kemarahan ramai.
Jika Azizah dalam lagu P Ramlee membuatkan pemuda tersenyum dan jatuh hati, Noor Azizah pula membuatkan satu Malaysia berang selepas kenyataannya mengenai layanan Malaysia terhadap komuniti Rohingya tular di media sosial.
Dalam ucapannya, Noor Azizah yang merupakan seorang aktivis Rohingya mendakwa lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di Malaysia ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi, bukannya di bilik darjah.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan nafi beri layanan tidak berperikemanusiaan kepada kanak-kanak Rohingya
Kenalan lama dedah kisah sebenar aktivis Rohingya, Noor Azizah
Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk kemarahan rakyat Malaysia yang merasakan negara ini dipersalahkan secara tidak adil di pentas antarabangsa.
Ketika kontroversi masih hangat diperkatakan, muncul pula pendedahan individu yang mendakwa pernah menjadi jiran dan kenalan keluarga Noor Azizah ketika menetap di Sandakan, Sabah.
Mereka mempertikaikan beberapa kisah hidup yang pernah diceritakan aktivis berkenaan, termasuk dakwaan bahawa beliau membesar sebagai gelandangan.
Individu terbabit mendakwa Noor Azizah sebenarnya tinggal di rumah flat bersama keluarga dan menjalani kehidupan yang jauh berbeza daripada gambaran yang diberikan kepada umum.
"Sayang dengan mereka satu keluarga sebab kami anggap macam saudara, tapi sakit hati bila dia buruk-burukkan Malaysia,” tulisnya.
Pendedahan daripada kenalan lama yang tular di media sosial itu menambahkan lagi keraguan orang ramai terhadap kisah yang dibawa Noor Azizah.
Walaupun dakwaan tersebut masih bersifat pandangan individu yang pernah mengenalinya, ia cukup untuk mencetuskan perdebatan besar dalam kalangan rakyat Malaysia.
Akibat gelombang kecaman yang semakin memuncak, akaun media sosial Noor Azizah kini dilaporkan disekat daripada akses umum.
Hakikatnya, rakyat Malaysia terkenal sebagai masyarakat yang prihatin dan pemurah terhadap golongan memerlukan.
Berkali-kali rakyat negara ini membuktikan sifat pemurah mereka melalui bantuan kemanusiaan kepada mangsa perang, bencana alam dan pelbagai krisis antarabangsa.
Malah isu Palestin, Syria dan Rohingya sendiri sering mendapat sokongan dan bantuan dari rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Sikap prihatin inilah yang menjadi identiti sebenar masyarakat negara ini.
Sebab itu, apabila muncul dakwaan yang tidak tepat menggambarkan tentang Malaysia, ramai merasakan jasa dan pengorbanan rakyat negara ini tidak dihargai.
Justeru, kontroversi Noor Azizah sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Sebagai seorang aktivis yang mempunyai platform antarabangsa, Noor Azizah seharusnya menggunakan pengaruhnya untuk membawa isu kemanusiaan secara lebih seimbang dan berfakta.
Pengajaran terbesar daripada kontroversi ini ialah kata-kata mempunyai kuasa yang sangat besar.
Di pentas antarabangsa, setiap kenyataan boleh membentuk persepsi dunia terhadap sesebuah negara.
Oleh itu, sesiapa sahaja yang membawa suara komuniti perlu memastikan fakta yang dikemukakan tepat, seimbang dan tidak mengabaikan kebaikan yang pernah diterima.
Dalam lagu P. Ramlee, Azizah digambarkan sebagai insan yang membuatkan hati pemuda 'berbunga' cinta.
Tetapi dalam dunia nyata hari ini, seorang lagi Azizah telah membuatkan satu Malaysia 'berbunga' marah.
Mudah-mudahan episod ini menjadi peringatan bahawa dalam memperjuangkan sesuatu isu, kebenaran dan keadilan mesti berjalan seiring.