ALOR SETAR - Exco Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah mempertahankan pendiriannya berhubung dakwaan kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA) melalui saluran terbuka atau diistilahkan sebagai 'pintu belakang'.
Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra itu bagaimanapun bersedia sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membawa perkara itu ke mahkamah dengan erti kata lain siap sedia dengan data, fakta dan bukti.
"Di sebaliknya, KPT perlu menjawab berapa ramai pelajar yang gagal mendapat tempat melalui saluran UPU tetapi berjaya memasuki UA melalui saluran terbuka dengan syarat membayar yuran penuh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Haim Hilman juga menuntut KPT menjelaskan mengapa pelajar dengan merit lebih rendah diberi tempat di UA apabila mereka bersedia membayar yuran pengajian penuh.
Menurutnya, secara khususnya dalam kenyataan media bertarikh 25 Disember 2024, Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia menyatakan bahawa kemasukan melalui saluran terbuka melibatkan pelajar sekitar 11,860 orang setahun satu kohort atau sekitar 40,000 orang untuk tempoh pengajian empat tahun bagi sarjana muda.
"KPT perlu menjelaskan dan memberi justifikasi terhadap nasib anak-anak B40 dan M40 yang layak secara merit tetapi dinafikan hak mereka oleh pelajar yang masuk melalui saluran ‘pintu belakang’ ini.
"Di samping itu, merujuk kepada tahun 2025, seramai 109,866 calon memohon kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda melalui saluran UPUOnline, namun hanya 78,883 calon atau 71.8 peratus ditawarkan tempat.
"Ini bermakna lebih 30,000 calon tidak menerima tawaran namun dalam keadaan ramai pelajar yang layak tetapi gagal mendapat tempat melalui saluran UPU berasaskan merit, mengapa perlu diwujudkan saluran terbuka atau pintu belakang yang membolehkan kemasukan berdasarkan kepada kemampuan pelajar membayar yuran penuh?" soal beliau.
Dalam kenyataan sama, beliau turut membangkitkan nasib anak-anak miskin yang menerima surat tawaran tetapi dimaklumkan bahawa bayaran yuran pendaftaran perlu dijelaskan sebelum mendaftar masuk.
"Jumlahnya bukan kecil bagi keluarga miskin. Di sesetengah IPTA, jumlah ini boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit," katanya.
Jelas beliau, tidak semua pelajar miskin mempunyai akses maklumat yang baik tentang bantuan zakat, tabung kebajikan, penangguhan bayaran yuran pendaftaran, pinjaman pendidikan, biasiswa atau saluran rayuan yang tersedia.
"Ada yang malu bertanya, ada yang tidak tahu ke mana hendak mengadu, ada yang akhirnya memilih untuk tidak mendaftar kerana menyangka tidak mampu melanjutkan pengajian disebabkan kekangan kewangan.
"Apa salahnya KPT menyelaras semua UA menyatakan dengan jelas dalam surat tawaran bahawa pelajar yang tidak mampu masih dibenarkan mendaftar dan bayaran pendaftaran boleh dijelaskan selepas memperoleh pinjaman pendidikan, biasiswa atau bantuan.
"Malah, bagi pelajar yang benar-benar miskin, mekanisme pengecualian atau penangguhan bayaran sepatutnya dinyatakan secara jelas, bukan dibiarkan kabur," katanya.
Haim Hilman berkata, KPT dan UA juga perlu menjelaskan mengapa masih wujud sistem pendaftaran dalam talian yang mensyaratkan pembayaran yuran pendaftaran dilakukan terlebih dahulu sebelum proses pendaftaran.
Katanya, keadaan ini jelas tidak selari dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pelajar miskin tidak akan dinafikan hak untuk mendaftar kerana menghadapi kekangan kewangan.
"Malangnya, kenyataan Perdana Menteri tidak disambut baik KPT dan UA malah, dalam kenyataan media yang dikeluarkan KPT, jelas sekali tidak menjawab persoalan-persoalan besar dibangkitkan tetapi memilih untuk memberi ancaman berbentuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang membangkitkan isu-isu di atas.
"Saya juga ingin menegaskan bahawa isu ini bukan mengenai individu, menteri, kementerian atau mana-mana institusi tertentu. Ia melibatkan hak generasi muda negara untuk mendapat akses pendidikan tinggi yang adil, telus, saksama dan berkebajikan," katanya.
Menurut beliau, UA dibiayai wang pembayar cukai maka, rakyat berhak mendapat penjelasan yang jujur dan lengkap.
"Saya akan terus memperjuangkan ketelusan dalam sistem kemasukan UA serta kebajikan pelajar, khususnya hak pelajar daripada keluarga B40 dan M40. Jika perkara ini akhirnya diputuskan di mahkamah, saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk kebenaran, fakta dan bukti dikemukakan secara terbuka.
"Sesungguhnya sebagai wakil rakyat dan bekas pemimpin universiti, saya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan hak anak-anak Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak atau apa jua kaum dan etnik, khususnya golongan B40 dan M40 yang bergantung kepada sistem kemasukan ke UA yang telus, adil dan berasaskan merit terbela," jelas beliau.