RANTAU PANJANG – Cubaan pertama dua lelaki menyeludup minuman keras dari Thailand berakhir dengan padah apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama sebuah Toyota Hilux yang sarat dengan pelbagai jenis arak dan bir bernilai RM103,500 di Cabang Empat Salam di sini pada Selasa.
Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 23 dan 33 tahun ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka diperiksa dalam operasi yang dijalankan di Sekatan Jalan Raya (SJR) kira-kira jam 6.30 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas menahan pikap berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sejumlah minuman keras dipercayai diseludup dari Thailand dan disorokkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
"Hasil pemeriksaan menemukan lima karton mengandungi 120 tin bir selain beberapa kotak minuman keras pelbagai jenama dan perisa.
"Dua lelaki tempatan yang berada dalam kenderaan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut Ahmad Radzi, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku mendapatkan bekalan minuman keras itu dari Thailand sebelum membawanya masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Kedap di sini.
Ujarnya, mereka mendakwa ini adalah kali pertama mengambil dan membawa masuk bekalan arak dari Thailand.
"Suspek turut mendakwa bekalan minuman keras tersebut bukan untuk dijual sebaliknya bagi kegunaan majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada minggu hadapan di Wakaf Bharu, Tumpat," katanya.
Beliau memberitahu, perbezaan harga yang ketara antara pasaran Thailand dan Malaysia dipercayai menjadi faktor yang mendorong kegiatan itu.
Menurutnya, suspek memaklumkan harga satu karton minuman keras di Thailand sekitar 700 baht, manakala di pasaran gelap Malaysia boleh mencecah kira-kira RM200 sekotak.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kedua-dua suspek bersama rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut