20,000 pokok durian ubah wajah ekonomi Pedu

Iklan
Mahdzir (kiri) hadir merasmikan Durian Fest @ PROSPEK Pedu 4.0 di Bukit Langsat, Padang Setol di Pedu pada Isnin.

KUALA NERANG – Hampir 20,000 pokok durian yang diusahakan menerusi Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Pedu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat di Mukim Pedu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek yang bermula pada 2022 itu dijangka menghasilkan kira-kira 300 tan durian dengan penglibatan seramai 354 peserta yang mengusahakan tanaman berkenaan di kawasan seluas 284 hektar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangunan industri durian di Pedu tidak hanya tertumpu kepada aspek pengeluaran hasil, malah dirancang sebagai hab pengeluaran durian dan destinasi agro pelancongan berpotensi di Kedah.

“Kalau tempat itu bersih, cantik dan terurus, orang akan datang. Mereka bukan hanya mahu makan durian, tetapi mahu menikmati suasana kebun bersama keluarga.

Iklan

“Kita mahu Pedu menjadi satu tarikan apabila tiba musim durian dan seterusnya membantu menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya selepas merasmikan Durian Fest @ PROSPEK Pedu 4.0 di Bukit Langsat, Padang Setol di sini pada Isnin.

Mahdzir berkata, kawasan itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana menempatkan pelbagai varieti durian termasuk durian kampung premium selain klon popular seperti musang king dan duri hitam yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Iklan

Menurutnya, PROSPEK Pedu kini memasuki tahun terakhir pelaksanaannya dengan keseluruhan peruntukan hampir RM7.9 juta bagi memperkukuh pembangunan industri durian di kawasan berkenaan.

“Sepanjang tempoh lima tahun ini, pelbagai bantuan disalurkan termasuk input pertanian, baja, naik taraf jalan ladang serta kemudahan asas bagi membantu peserta meningkatkan produktiviti kebun masing-masing.

“Pokok yang ditanam sejak 2022 dijangka mula mengeluarkan hasil seawal tahun depan, manakala kebanyakan pokok sedia ada merupakan pokok matang yang telah lama mengeluarkan hasil,” ujarnya.

Dalam usaha memperkukuh rantaian pemasaran, Mahdzir berkata, KEDA turut membangunkan lapan pusat pengumpulan hasil atau durian hub bagi memudahkan urusan pengumpulan, penggredan dan pemasaran durian peserta.

Katanya, empat durian hub telah siap dibangunkan manakala baki empat lagi dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.

“Kewujudan durian hub membolehkan peserta menghantar hasil ke lokasi yang lebih dekat tanpa perlu bergerak jauh selain membantu urusan pemasaran secara lebih sistematik.

“Pada masa sama, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan meningkatkan pulangan pendapatan peserta,” katanya lagi.