HSNZ cipta sejarah, berjaya rawat dan bedah bayi seberat 500 gram

Iklan
HSNZ mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya merawat dan melakukan dua pembedahan ke atas bayi pramatang seberat hanya 500 gram. Foto: Facebook HSNZ

KUALA TERENGGANU - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya merawat dan melakukan dua pembedahan ke atas bayi pramatang seberat hanya 500 gram, sekali gus menjadi bayi paling kecil pernah dikendalikan di hospital itu.

Menerusi perkongsian HSNZ, bayi itu mengalami necrotising enterocolitis (NEC) yang menyebabkan kebocoran usus ketika berusia lima hari dan memerlukan pembedahan major laparotomi kecemasan.

Iklan
Iklan

"Ketika itu, bayi ini baru berumur lima hari dan hanya seberat 500 gram. Tiga bulan kemudian, bayi ini sekali lagi menjalani pembedahan untuk penutupan stoma, dan kedua-dua prosedur berjaya dilaksanakan dengan selamat.

"Selama hampir empat bulan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), bayi kecil ini berjuang setiap hari untuk terus hidup dan membesar.

Iklan

"Dengan usaha tanpa mengenal penat daripada Pasukan Kepakaran Multidisiplin, jururawat NICU serta seluruh pasukan kesihatan, akhirnya beliau cukup kuat untuk pulang ke pangkuan keluarga," menurut hantaran tersebut.

HSNZ memberitahu, kejayaan itu sebagai bukti bahawa keajaiban dalam dunia perubatan lahir daripada gabungan ilmu, kepakaran, doa, harapan dan kegigihan semua pihak yang terlibat.

Iklan

"Bagi pejuang kecil ini, setiap gram membawa makna, setiap hari adalah kemenangan, dan setiap langkah ke hadapan adalah satu keajaiban.

"Daripada 500 gram kepada kepulangan yang dinanti-nantikan. Sebuah kisah keberanian, kasih sayang dan harapan yang tidak pernah padam," tulis hantaran itu lagi.

Kisah bayi tersebut turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa ia satu perjuangan besar seorang insan kecil yang berjaya mengharungi detik-detik kritikal sepanjang hampir empat bulan menerima rawatan di NICU.

"Alhamdulillah, satu pencapaian bersejarah buat HSNZ. Berkat kepakaran, kerjasama dan doa, seorang pejuang kecil seberat 500 gram berjaya mengharungi detik-detik kritikal selama hampir empat bulan di NICU.

"Keajaiban itu kini menjadi realiti apabila si kecil berjaya pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga," katanya.

Kementerian turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan perubatan pelbagai disiplin HSNZ yang bertungkus-lumus memastikan nyawa berharga ini terus bernafas.