UALA LUMPUR - Empat individu diberkas sebelum dibebaskan dengan jaminan polis bagi siasatan lanjut berkaitan insiden letupan mercun ketika Himpunan Tangkap Azam Baki di pekarangan hadapan pusat beli-belah Sogo pada 25 April lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki tempatan.
Menurutnya, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan pihak polis.
“Setakat ini, empat lelaki Melayu telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut berkaitan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis giat mengesan pelaku yang mencetuskan kekecohan dengan membakar mercun ketika penganjuran himpunan berkenaan.
Sazalee berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Ujar beliau, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada insiden pembakaran mercun tersebut merupakan satu bentuk sabotaj atau sebaliknya.
Jelas beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Terdahulu, kekecohan berlaku di Himpunan Tangkap Azam Baki pada 25 April lalu selepas mercun meletup di pekarangan hadapan pusat beli-belah Sogo di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika ucapan kumpulan mahasiswa di atas kenderaan pacuan empat roda.
Sinar Harian yang berada di lokasi mendapati beberapa letupan itu terkena kawasan premis kedai.
Kawasan letupan itu kemudian ditutup oleh pegawai polis dengan pita kuning bagi tujuan siasatan lanjut.