SHAH ALAM - Soalan mata pelajaran Pendidikan Moral bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 didakwa bocor selepas perkara itu tular di media sosial pada Rabu.
Dakwaan berkenaan dibangkitkan seorang pengguna Threads menerusi satu hantaran yang memaparkan beberapa tangkap layar perbualan aplikasi mesej dan dokumen dipercayai mengandungi soalan serta jawapan peperiksaan berkenaan.
"Sulit ke SPM? Semalam Bahasa Inggeris, hari ini moral siap ada kertas," tulisnya menerusi hantaran tersebut.
Hantaran itu turut menandakan akaun rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek bagi mendapatkan perhatian pihak berkenaan.
Susulan itu, akaun rasmi Lembaga Peperiksaan menerusi ruangan komen memaklumkan pihaknya berterima kasih atas maklumat yang diberikan.
Lembaga Peperiksaan turut meminta pengguna berkenaan menghantar mesej langsung (DM) bagi membolehkan maklumat lanjut diperoleh serta siasatan dijalankan.
“Terima kasih atas makluman. DM kami untuk maklumat dan siasatan lanjut,” menurut maklum balas berkenaan.
Individu terbabit kemudiannya membalas komen tersebut dengan memaklumkan bahawa dirinya mempunyai semua bukti berkaitan dakwaan berkenaan.
Berdasarkan maklumat daripada beberapa tangkap layar yang dikongsikan, terdapat perbualan menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan gambar dipercayai sebagai kertas soalan selain senarai topik dan dokumen yang menyerupai panduan pemarkahan bagi mata pelajaran Pendidikan Moral
Hantaran itu merekodkan lebih 106,000 tontonan, 1,100 tanda suka, 104 komen, 128 perkongsian semula dan 1,300 perkongsian setakat tangkap layar berkenaan diambil.