Bayi lima bulan tidak sedarkan diri, ada kesan lebam selepas diambil dari rumah pengasuh

Iklan
Bayi perempuan berusia lima bulan ditemukan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan luka selepas diambil ibunya dari rumah pengasuh pada 14 November lalu. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Luluh hati seorang ibu apabila bayi perempuannya berusia lima bulan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan luka pada bahagian muka serta telinga selepas diambil dari rumah pengasuh pada 14 November lalu.

Bayi berkenaan kemudian dibawa ibunya ke Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kira-kira jam 5.46 petang untuk mendapatkan rawatan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak polis menerima laporan daripada pegawai perubatan hospital berkenaan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bayi terbabit turut mengalami sawan selain mempunyai kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan.

Iklan

"Mangsa kini ditempatkan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) bagi pemantauan dan pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Iklan

Fadil berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan menerusi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.