TENOM - Seorang penoreh getah maut akibat digilis kereta api dalam kejadian di kawasan landasan kereta api di Kilometer 137/3 di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari, mayat mangsa yang juga warga emas berusia 63 tahun ditemukan terperosok di bawah kereta api.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga pemandu kereta api tersebut pada jam 2.17 petang.
"Sebaik keluar daripada terowong, pengadu secara tiba-tiba ternampak sebuah troli kayu yang mana di dalamnya terdapat seorang lelaki berada pada landasan laluan kereta api menghala ke arah Tenom dan menyebabkan berlakunya pelanggaran sehingga maut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Azmir berkata, hasil siasatan pemandu kereta api sempat bertindak membunyikan hon dan menekan brek bagi mengelak berlaku pelanggaran.
"Bagaimanapun, jarak yang terlalu dekat dan laluan licin menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh gerabak berkenaan.
"Troli yang terlanggar tadi telah terseret sejauh kira-kira 15 meter sebelum kereta api berjaya berhenti dan pengadu meninjau, troli berkenaan telah terperosok di bawah bahagian kereta api manakala mangsa juga berada di bahagian bawah dan tidak dapat dikeluarkan," katanya.
Katanya lagi, pengadu bertindak mencari isyarat telefon di kawasan bukit berhampiran untuk memaklumkan kepada pihak polis.
"Mayat mangsa kemudian berjaya dikeluarkan oleh pihak polis dan pasukan bomba kira-kira jam 1.50 tengah hari serta dihantar ke Hospital Tenom untuk tindakan selanjutnya," katanya.