Dari 50 ke 800 tempahan, pelita buluh tiga sahabat jadi buruan

Iklan
Ahmad Farid Shaifuddin (kanan) dan Muhammad Amirul (kiri) menyiapkan pelita buluh yang ditempah pelanggannya di Kampung Gong Limau, Chukai di Kemaman.

KEMAMAN - Bermula sekadar hobi untuk menggamit nostalgia zaman kanak-kanak, percubaan tiga sahabat menjual pelita buluh tradisional di Kampung Gong Limau, di sini membuahkan hasil luar biasa apabila tempahan diterima meningkat mencecah sehingga 800 batang.

Perniagaan yang diusahakan Ahmad Farid Shaifuddin Muda, 34; Muhammad Amirul Mohd Shafiee, 32 dan Mohd Ikhwan Che Wan Mohd Rosli, 30, pada awalnya hanya menyasarkan jualan sekitar 50 batang sahaja bagi memenuhi permintaan kenalan terdekat.

Iklan
Iklan

Ahmad Farid Shaifuddin berkata, segalanya berubah selepas mereka memuat naik produk tersebut di media sosial seperti Facebook dan TikTok, selain tular melalui sesi siaran langsung (live) di platform berkenaan.

"Awalnya kami cuma bajet 50 batang sahaja untuk tempahan. Tetapi selepas muncul di media sosial dan mendapat liputan berita, permintaan meningkat mendadak selepas seminggu berpuasa.

Iklan

"Setakat ini, tempahan akhir sudah mencecah 800 batang pelita. Kami tidak sangka sambutan sehebat ini sehingga tidak menang tangan dibuatnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai operasi mereka, Ahmad Farid menjelaskan bahawa mereka terpaksa menambah tenaga kerja bagi memastikan semua tempahan dapat disiapkan mengikut jadual.

Iklan

"Asalnya kami hanya bertiga, tetapi selepas tempahan 'meletup', kami menambah pasukan kepada enam hingga tujuh orang. Kami tetap kekal dengan pasukan asal cuma sekarang perlu membuat jadual khusus untuk mencari buluh dan mengejar tarikh tutup tempahan.

"Kami memang tidak ada istilah stok sedia ada (ready stock). Semuanya perlu melalui tempahan awal (pre-order)," jelasnya.

Ditanya mengenai khidmat penghantaran, beliau berkata pihaknya terpaksa mengehadkan tempahan hanya di sekitar kawasan Kemaman memandangkan kekangan tenaga kerja untuk urusan pos.

"Paling jauh pun kami ambil sekitar Kemaman sahaja. Buat masa ini kami tidak membuat penghantaran melalui pos kerana tidak sempat melayani permintaan yang semakin tinggi.

"Tetapi, ada juga pelanggan dari jauh seperti Kuala Lumpur dan Selangor yang tetap mahu membeli. Biasanya mereka kirim melalui saudara-mara atau kenalan yang kebetulan datang ke sini untuk diambil secara terus," katanya.

Tiga sahabat itu menjual pelita buluh pada harga RM20 bagi saiz 0.6 hingga 0.9 meter (empat sumbu), manakala saiz 1.21 hingga 1.5 meter (lapan sumbu) dijual pada harga RM30 sebatang.

Keunikan pelita yang diusahakan ini terletak pada penggunaan buluh jenis berang dan buluh duri yang dikekalkan warna asalnya bagi menonjolkan nilai estetik serta ketahanan yang lebih lama.