Iran tamatkan operasi SAR di sekolah diserang AS-Israel, angka korban kekal 165

Iklan
Operasi SAR sebuah sekolah rendah yang terkena serangan Israel-AS di bandar Minab di wilayah selatan Hormozgan berakhir dengan angka korban seramai 165 orang - Foto: AFP

TEHERAN - Pegawai Iran pada Isnin berkata bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah sekolah rendah yang terkena serangan Israel-AS di bandar Minab di wilayah selatan Hormozgan telah berakhir dengan jumlah kematian muktamad seramai 165 orang, lapor Agensi Anadolu (AA).

Gabenor Minab, Mohammad Rademahr berkata dalam kenyataan yang dipetik oleh media kerajaan Iran bahawa pasukan tindak balas kecemasan, ahli kumpulan separa tentera sukarela tempatan, dan penduduk mengambil bahagian dalam operasi pembersihan runtuhan di Sekolah Shajareh Tayabeh.

Iklan
Iklan

Sekolah itu diserang pada pagi Sabtu, ketika AS dan Israel melancarkan pengeboman besar-besaran di beberapa wilayah di seluruh Iran.

Serangan itu mengenai sekolah berkenaan semasa sesi persekolahan sedang berlangsung, menyebabkan bangunan itu ranap menjadi runtuhan. Pegawai pengurusan bencana tempatan mengambil masa lebih 24 jam untuk membersihkan runtuhan dan mengeluarkan semua mayat.

Iklan

Rademahr berkata, bahawa mayat 165 pelajar telah dikeluarkan dari bawah runtuhan.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai"tindakan berniat jahat" oleh Israel dan AS, sambil menyatakan bahawa ia sekali lagi menunjukkan"corak sejarah pembunuhan kanak-kanak oleh rejim Zionis (Israel)."

Iklan

Beliau berkata"tindakan bacul" di Minab itu mengesahkan semula bahawa Israel tidak akan menghentikan apa yang disifatkannya sebagai"sasaran terhadap kanak-kanak."

Selain 165 kematian, 96 yang lain cedera dalam serangan itu, kebanyakannya adalah pelajar.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Menteri Luar, Abbas Araghchi masing-masing mengutuk serangan tersebut dalam kenyataan berasingan.

Rademahr berkata, upacara pengebumian bagi pelajar yang terkorban akan diadakan pada Selasa.

AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei. Tehran membalas dengan siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, aset AS di beberapa negara Teluk.

Pegawai Iran telah menolak gesaan untuk menyambung semula diplomasi selepas Menteri Luar Oman Badr al-Busaidi mencadangkan pusingan baharu rundingan dalam satu hantaran di media sosial.

Serangan AS-Israel itu berlaku di tengah-tengah rundingan nuklear tidak langsung antara Tehran dan Washington, yang diusahakan oleh Oman. - Bernama