KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan kereta mewah antarabangsa bernilai jutaan ringgit dipercayai menyamar sebagai pelancong untuk membawa masuk kenderaan dari Singapura sebelum menjualnya pada harga 30 hingga 40 peratus lebih murah kepada golongan muda tempatan.
Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lapan kereta serta enam motosikal pelbagai jenama dalam Operasi Terma di Kuala Lumpur dan Johor yang dijalankan antara 2 hingga 10 Februari lalu.
Timbalan Pengarah Kastam Negeri Bahagian Pengkastaman dan Cukai Dalam Negeri, Dr Ishak Ismail yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Kastam Negeri Kelantan berkata, sindiket berkenaan dipercayai membawa masuk kenderaan dari negara jiran itu dengan memandu masuk sebagai pelancong sebelum meninggalkannya di parkir kondominium, pangsapuri dan kawasan perumahan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan ini dibawa masuk melalui laluan darat dari Singapura.
“Pemandu masuk menggunakan pas lawatan sosial seperti pelancong dan selepas itu meninggalkan kenderaan di tapak parkir sebelum diserahkan kepada pihak lain,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma JKDM Kelantan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, modus operandi itu dipercayai didalangi sindiket antarabangsa yang menyasarkan pembeli dalam kalangan anak muda yang mahu memiliki kereta mewah pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran tempatan.
“Kereta-kereta berusia lima tahun ini ditawarkan pada harga 30 hingga 40 peratus lebih murah kerana tidak melalui proses pengisytiharan serta pembayaran duti dan cukai yang sah. Faktor harga murah inilah yang menjadi tarikan utama,” katanya.
Antara kenderaan yang dirampas termasuk Aston Martin, BMW 520i, Jaguar XJ, Mercedes-Benz A180, Maserati dan Toyota GT86 selain beberapa motosikal berkuasa tinggi.
Ishak berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.54 juta manakala anggaran duti dan cukai terlibat sebanyak RM2.9 juta, menjadikan keseluruhan nilai termasuk duti dan cukai mencecah RM4.45 juta.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 mengikut mana yang lebih tinggi serta tidak melebihi dua kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih tinggi, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“JKDM memandang serius kegiatan ini kerana ia bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah membuka ruang kepada jenayah rentas sempadan yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran harga murah yang meragukan serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada talian bebas tol Kastam 1-800-88-8555 atau pejabat kastam terdekat.