YAN - Datuk kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan pada Ahad pernah berpesan kepada cucunya agar berhati-hati di jalan raya kerana bimbang akan keselamatan mereka ketika menunggang motosikal.
Hashim Musa, 70, berkata, dia hilang kata-kata sebaik menerima berita kehilangan dua cucunya, Siti Nur Zulaikha Muhammad Shukor, 18, dan abangnya, Luqman Nulrois, 19, dalam sekelip mata.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu mereka ialah pada hari keempat Ramadan lalu ketika berkumpul di rumahnya di Simpang Empat, Alor Setar.
"Masa itu saya beli macam-macam lauk antaranya gulai ikan dan gulai sotong untuk hidangan kami berbuka beramai-ramai.
"Ketika itu, saya tengok mereka seronok dan berselera makan. Saya pesan, bawa motosikal elok-elok kalau balik asrama sebab risau, tetapi mereka hanya senyum," katanya ketika ditemui di Masjid Al-Hannan di sini pada Isnin.
Menurut Hashim, Luqman Nulrois dan Siti Nur Zulaikha ialah anak kedua dan ketiga daripada enam beradik.
"Dua beradik itu sangat rapat dan mereka budak yang baik... bukan jenis nakal tetapi taat kepada keluarga selain tidak tinggal solat.
"Sedih sebab mereka pergi pada usia belasan tahun, masih muda, dalam bulan Ramadan, apatah lagi dekat hendak sambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua beradik itu meninggal dunia selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di kiri jalan ketika melalui Lebuhraya Utara-Selatan.
Mereka dilaporkan sedang dalam perjalanan dari rumah di Yan, Kedah ke Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang.