PUTRAJAYA – Seorang penuntut lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang disiasat berhubung kes memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada Selasa.
Menerusi kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Isnin, berdasarkan penelitian terhadap kertas siasatan mendapati, terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap lelaki berkenaan.
Iklan
Iklan
“Dia berdepan dua pertuduhan iaitu pertama, mencemarkan objek yang dianggap suci iaitu al-Quran dengan cara memijaknya dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Sementara pertuduhan kedua, dia dituduh memulakan hantaran komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
“Bagi kes itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Pada 25 Februari lalu, seorang penuntut universiti ditahan reman sehingga Selasa bagi membantu siasatan bagi kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, reman dibuat selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan.