PELABUHAN KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang menahan lima kontena mengandungi sisa elektronik atau e-waste, wayar dan kabel elektrik dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang Utara di sini pada Isnin.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan fizikal dijalankan kira-kira jam 9 pagi melibatkan 21 kontena yang ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati empat kontena berisi campuran sisa elektronik atau e-waste, manakala satu kontena lagi mengandungi bahan buangan terjadual kategori SW422," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Nik Ezanee berkata, operasi berkenaan turut disertai SIRIM, Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Alam Sekitar Selangor.
“Tiga kontena mengandungi campuran e-waste dan besi buruk dengan berat masing-masing 22,000 kilogram (kg), manakala satu lagi seberat 23,000 kg.
"Sebuah kontena berisi bahan buangan terjadual SW422 mengandungi wayar dan kabel elektrik dengan berat 30,200 kilogram,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan membabitkan berat 119,200 kilogram dan kesemua kontena tersebut dipercayai memasuki negara ini pada Februari lalu.
"Kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali di bawah peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
Katanya, kesemua kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada Jabatan Alam Sekitar Selangor dan ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang serta memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.