Perang Asia Barat: Malaysia perlu strategi seimbang hadapi krisis

Iklan
Mohamad Ikhram (gambar kecil) berpandangan, perkembangan kini menjadikan Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam menyesuaikan dasar ekonomi dan dasar luar negara. Foto: Agensi

SHAH ALAM - Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran yang semakin memuncak ketika ini mampu memberi kesan langsung kepada ekonomi, keselamatan tenaga dan sekuriti makanan negara.

Pensyarah Kanan Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohamad Ikhram Mohamad Ridzuan berkata, ketidakstabilan politik, ketidaktentuan pasaran tenaga, kerumitan hubungan kuasa besar serta kekaburan masa depan ekonomi global menjadikan persekitaran antarabangsa semakin sukar diramal.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perkembangan itu menjadikan Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam menyesuaikan dasar ekonomi dan dasar luar negara.

"Salah satu kesan paling jelas daripada konflik ini ialah potensi peningkatan harga minyak dunia memandangkan Asia Barat merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia, manakala laluan strategik seperti Selat Hormuz menjadi nadi kepada perdagangan tenaga global.

Iklan

"Bagi Malaysia, keadaan ini membawa kesan yang bersifat dua hala. Sebagai negara pengeluar minyak dan gas, peningkatan harga minyak berpotensi meningkatkan hasil negara melalui syarikat petroleum nasional seperti Petronas yang selama ini menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kerajaan Persekutuan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohamad Ikhram berkata, dalam konteks domestik, ketidaktentuan harga tenaga global juga berlaku ketika Malaysia berhadapan dengan polemik berkaitan pengurusan sumber minyak dan gas, khususnya melibatkan hubungan antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Iklan

"Sekiranya perselisihan berkaitan bidang kuasa, pengurusan sumber dan agihan hasil tenaga tidak ditangani secara konstruktif, keadaan ini berpotensi menambah ketidaktentuan dalam sektor tenaga negara.

"Dalam suasana geopolitik global yang tidak menentu, sebarang ketegangan dalaman dalam pengurusan sumber strategik boleh melemahkan keupayaan negara untuk mengurus keselamatan tenaga secara lebih berkesan.

"Pada masa yang sama, kenaikan harga tenaga juga boleh memberi tekanan kepada ekonomi domestik melalui peningkatan kos pengangkutan, logistik serta kos pengeluaran industri yang kesan akhirnya akan dirasai oleh rakyat melalui peningkatan kos sara hidup," katanya lagi.

Selain isu tenaga, Felo Pusat Pembangunan dan Dasar Ekonomi (CEDP) itu berkata, konflik geopolitik juga boleh memberi implikasi terhadap sekuriti makanan kerana peningkatan harga minyak akan menaikkan kos pengangkutan, baja, input pertanian serta rantaian bekalan makanan antarabangsa.

"Malaysia yang masih bergantung kepada import bagi beberapa komoditi makanan asas seperti gandum dan makanan ternakan akan terdedah kepada tekanan kestabilan bekalan sekiranya ketidaktentuan geopolitik berterusan.

"Justeru, negara perlu terus mengekalkan pendekatan dasar luar yang pragmatik dan seimbang.

"Pendekatan 'grand strategy' yang diamalkan sejak awal kemerdekaan menekankan hubungan seimbang dengan pelbagai kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun bagi memastikan kepentingan nasional dapat dilindungi tanpa terperangkap dalam percaturan geopolitik kuasa besar," ujarnya.

Beliau menegaskan negara perlu terus memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan keupayaan sekuriti makanan serta mengekalkan 'grand strategy' yang pragmatik bagi menghadapi dunia yang semakin dicirikan oleh ketidaktentuan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan (VUCA).