Pelatih ragbi putus kaki: Sempat pujuk ibu izinkan sertai Cabaran 'Moreh' sebelum nahas

Iklan
Sayyid Iskandar terpaksa ditidurkan bagi meneruskan rawatan.

KUALA KRAI - Pelatih dan pemain ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha, 20, sempat memujuk ibunya untuk membenarkannya menyertai Cabaran 'Moreh' Tujuh Sebelah yang akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini sebelum terlibat dalam kemalangan.

Kejadian jam 10.30 malam itu menyebabkan, kaki kanan pelajar Kolej Vokasional Kuala Krai itu putus.

Iklan
Iklan

Adiknya, Nurul Asyiqin, 18, berkata, bagaimanapun ibunya, Nik Zurinawati Yusuf, 46, tidak membenarkan anak ketiga daripada enam beradik itu menyertainya kerana ia berlangsung dalam bulan Ramadan.

"Sejam sebelum kejadian, abang sempat memujuk ibu kerana dia teringin sangat untuk menyertai cabaran tersebut. Selepas berborak dengan ibu, dia sempat bermain dengan adik bongsu kami sebelum keluar moreh bersama rakan-rakannya.

Iklan

"Pada hari kejadian kebetulan Sayyid Iskandar tidak ke masjid menunaikan tarawih sepertimana malam-malam sebelumnya. Kami mengetahui kejadian yang menimpa abang selepas dimaklumkan oleh anak jiran.

"Kami dimaklumkan semasa kejadian kereta terbabit dikatakan memotong dalam keadaan menaiki bukit manakala abang dan tiga lagi rakannya kesemua menunggang motosikal.

Iklan

"Abang dikatakan berada paling belakang dan semasa kereta itu memotong, motosikal abang sedang menaiki bukit disebabkan itu dia dipercayai tidak nampak kemunculan kereta itu dan menyebabkan pertembungan berlaku," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut dia, sebaik sahaja mengetahui tentang kejadian itu, ibu serta ayah, Mohamad Azaha Ismail, 53, terus bergegas ke lokasi dari rumah mereka di Bukit Acheh, Kampung Tengah.

Ujarnya, semasa sampai di lokasi kejadian ibunya yang merupakan jururawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini yang menguruskan abangnya ketika itu.

"Ibu memaklumkan kepada kami, walaupun dia sudah biasa dengan situasi kecemasan tersebut, namun disebabkan ia melibatkan anak sendiri, ibu mengalami trauma.

"Abang dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera kerana mengalami pendarahan teruk dan ketika itu kaki kanan yang terputus belum ditemui kerana keadaan di lokasi kejadian terlalu gelap serta dikatakan tercampak jauh," katanya.

Dia memberitahu, abangnya dimasukkan ke bilik bedah sekitar jam 11 malam hingga ke 5 pagi.

Ujarnya, selepas pembedahan tersebut abangnya terpaksa ditidurkan bagi meneruskan rawatan.

Dalam pada itu, menurut Nurul Asyiqin, ayahnya mengambil masa selama dua jam untuk mencari kaki abangnya yang terputus itu di lokasi kejadian.

"Walaupun ia berjaya ditemukan namun sukar untuk disambung kembali kerana kaki abang terputus bermula dari bahagian pinggul ke bawah.

"Lebih menyedihkan lagi ayah sanggup menguruskan kaki abang dengan mencuci serta menanamnya walaupun dia takut darah. Sehingga sekarang ibu dan ayah masih mendiamkan diri dan bersedih kerana abang adalah anak lelaki sulung dan harapan keluarga," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa merupakan pelajar tahun akhir kursus Diploma Teknologi Elektrik mengalami putus kaki kanan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri di sini, malam Sabtu.