YAN - Pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ketika dalam perjalanan ke asrama bersama abangnya pada Ahad pernah meluahkan rasa ingin tidur buat selama-lamanya akibat kepenatan.
Luahan Siti Nur Zulaikha Muhammad Shukor, 18, itu dikongsi Putri Aisya Humaira Abdullah, 18, yang merupakan rakan sebilik arwah.
Menurut Putri Aisya Humaira, rakannya itu berkongsi luahan tersebut ketika mereka berjalan kaki dari asrama menuju ke kelas pada Jumaat lalu.
"Dia kata penat... nak tidur selama-lamanya. Masa itu kami hendak ke kelas, saya mengiyakan sahaja apa yang dikatakan... ingatkan itu luahan biasa, tak sangka dia sudah tiada," katanya ketika ditemui di Masjid Al-Hannan, Pekan Teroi di sini pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, Siti Nur Zulaikha yang merupakan pelajar semester akhir Sijil Pengurusan Perniagaan membonceng motosikal bersama abangnya, Luqman Nulrois, 19, pelajar semester dua Diploma Teknologi Pembinaan yang sedang dalam perjalanan pulang ke asrama mereka.
Kedua-dua pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal itu bertolak dari rumah di Kampung Teroi Bukit di sini sebelum motosikal yang dinaiki berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di kiri jalan berhampiran lokasi kejadian ketika menghala ke Bertam.
Siti Nur Zulaikha dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala Luqman Nulrois meninggal dunia di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Menurut Putri Aisya Humaira, Siti Nur Zulaikha merupakan rakan yang baik, tidak pernah berkira, saling berkongsi makanan dan sentiasa menemaninya ke mana sahaja.
"Kami rapat, ke mana-mana berdua... lepas ini tinggal saya seorang sahaja," ujarnya.
Selain itu, Penyelaras Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal, Aniza Mustafa berkata, Luqman Nulrois sememangnya dikenali sebagai pelajar cemerlang dan mempunyai sahsiah terpuji.
"Arwah merupakan Exco Kolej Kediaman Majlis Perwakilan Pelajar, disenangi rakan dan guru serta seorang yang ringan tulang.
"Tanyalah kepada mana-mana guru, pasti mereka bercerita tentang baiknya budi pekerti Luqman Nulrois.
"Apabila mendapat tahu petang semalam, saya terus tiada selera untuk berbuka puasa, kami jadi sebak... kehilangannya cukup dirasai," katanya.
Menurutnya, ramai guru dan rakan mengiringi kedua-dua pelajar tersebut termasuk sebuah bas yang dikhaskan untuk membawa warga Kolej Vokasional ke Masjid Al-Hannan di sini bagi menziarahi jenazah.
Kedua-dua beradik itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi di sini selepas solat Zohor.