Mangsa lemas jatuh bot disyaki akibat sawan - Polis

Iklan
Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk proses bedah siasat selepas pengecaman pihak keluarga.

KUANTAN - Lelaki yang ditemui lemas di Sungai Belat di sini dipercayai diserang sawan sebelum terjatuh dari bot, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa, Mohd Firdaus Rahmat, 43, memiliki rekod penyakit itu dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mayat mangsa yang dijumpai kira-kira jam 12.05 tengah hari berhampiran tempat mangsa dilaporkan terjatuh dibawa ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku dan kes disiasat sebagai mati mengejut," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut kejadian, Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 7.29 malam.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa turun ke sungai untuk mengambil lukah.

Iklan

"Usaha mencari mangsa dibuat penduduk setempat namun gagal," katanya.

Tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan kira-kira jam 8 pagi pada Isnin melibatkan pegawai dan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Pasukan SAR berjaya menjumpai mayat mangsa dan identitinya disahkan berdasarkan pengecaman ahli keluarga," katanya.