Ancaman terhadap petugas keselamatan jenayah yang tidak boleh diterima - AKPS

Iklan
Kenderaan dinaiki Mohd Nasaruddin ditembak dalam satu kejadian awal pagi Rabu. Foto: Bernama

SHAH ALAM - Sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara adalah satu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan pada Rabu menegaskan, tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan serta kedaulatan pintu masuk negara.

Iklan
Iklan

Dalam masa sama, AKPS mengesahkan Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir yang terlibat dalam insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam berada dalam keadaan selamat dan stabil.

Menurut kenyataan itu, beliau juga kekal bersemangat tinggi untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah demi keselamatan negara.

Iklan

"Susulan insiden itu, Ketua Pengarah AKPS telah turun padang ke ICQS Bukit Kayu Hitam pagi tadi bagi meninjau sendiri situasi, mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden yang berlaku, memastikan tahap keselamatan terkawal serta menyatakan sokongan penuh kepada pegawai dan anggota barisan hadapan yang bertugas.

"Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, AKPS Bukit Kayu Hitam menerima beberapa ancaman sejak kebelakangan ini.

Iklan

"Insiden yang berlaku pagi tadi adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang dipandang serius dan sama sekali tidak akan dikompromi," menurut AKPS.

Sebelum ini, kenderaan yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin ditembak di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada jam 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Mangsa sedang menghala ke Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam yang menaiki motosikal dengan topi keledar penutup penuh.

Tambah kenyataan itu, insiden berkenaan sama sekali tidak akan melemahkan semangat warga agensi tersebut.

"Sebaliknya, ia terus memperkukuh iltizam seluruh pegawai dan anggota untuk terus berdiri teguh, berani serta profesional dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.

"AKPS akan terus memastikan setiap pintu masuk negara kekal selamat, terkawal dan berdaulat serta tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang ancaman yang cuba menggugat keselamatan, keamanan dan kedaulatan tanah air," menurut kenyataan itu lagi.