GEORGE TOWN - Mayat seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun ditemukan terbaring di bawah sebuah pangsapuri di Gelugor di sini, pada Rabu, dipercayai terjatuh dari bangunan kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira jam 9.20 pagi di lokasi kejadian.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, mayat remaja itu yang berlumuran darah ditemui memakai pakaian sukan dengan nama sekolah tertera, manakala sebuah beg berwarna hitam turut ditemukan berhampiran mangsa.
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Rozak berkata, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang dan ditetak seorang lelaki di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Kelawai, di sini.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 8 pagi dan siasatan awal mendapati suspek menyerang mangsa di hadapan lobi bangunan sebelum melarikan diri menaiki motosikal.
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Muhammad Muhaimin Muthar di talian 014-3421292 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, dua video tular berdurasi 17 dan 29 saat menunjukkan mangsa diserang seorang lelaki sebelum suspek melarikan diri bersama rakannya menaiki motosikal.
Video itu juga memaparkan keadaan mangsa yang berlumuran darah di lobi bangunan. - Bernama