SHAH ALAM - Seorang penyelia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu untuk mengetepikan keputusan yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kerana memfitnah bekas suami sebagai autistik di laman sosial enam tahun lalu.
Hakim, Noor Hayati Mat memutuskan demikian selepas menolak rayuan wanita berusia 40 tahun itu selaku perayu dengan kos sebanyak RM5,000.
"Mahkamah mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen Selayang," katanya ketika prosiding dijalankan secara dalam talian.
Pada 25 Februari 2025, Hakim, Lailatul Zuraida Harron @ Harun memerintahkan ibu kepada tiga anak itu selaku defendan membayar ganti rugi tersebut kepada bekas suami berusia 42 tahun.
Beliau juga mengeluarkan injunksi kekal terhadap defendan daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, memalukan dan menjatuhkan reputasi bekas suami selaku plaintif dalam apa jua cara pada masa akan datang.
Wanita itu juga dikehendaki memadam semua hantaran berunsur fitnah daripada akaun Facebook yang merujuk kepada plaintif selain memuat naik permohonan maaf dengan penuh penyesalan di laman sosial sehingga suatu tarikh yang dipersetujui oleh bekas suami.
Ia termasuk faedah ganti rugi am pada kadar peratus setahun dari tarikh pemfailan saman sehingga penyelesaian sepenuhnya, dengan kos sebanyak RM10,000 kepada plaintif.
Sementara itu, plaintif memanjatkan kesyukuran kerana memperoleh kemenangan kali kedua bagi kes saman fitnah tersebut.
"Saya berusaha membersihkan nama dan reputasi yang memakan masa lebih enam tahun, tetapi Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH kerana kebenaran akhirnya ditegakkan.
"Ini bukan soal kemenangan peribadi semata-mata, tetapi isu maruah, integriti dan prinsip bahawa setiap tuduhan perlu dibuktikan," katanya.
Beliau juga menghormati keputusan mahkamah dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan sepanjang proses berkenaan berlangsung.
Dalam prosiding tersebut, plaintif diwakili peguam, Siti Noryani Samsuddin dari Tetuan Noryani Ar Rais.