Kerosakan mesin pengimbas Lapangan Terbang Labuan sebabkan kesulitan

Iklan
Kerosakan mesin pengimbas di Lapangan Terbang Labuan menyebabkan kesulitan selepas penumpang perlu membuka bagasi mereka untuk pemeriksaan secara manual di balai pelepasan. Gambar hiasan

LABUAN - Kerosakan mesin pengimbas di Lapangan Terbang Labuan menyebabkan kesulitan selepas penumpang perlu membuka bagasi mereka untuk pemeriksaan secara manual di balai pelepasan.

Lapangan terbang itu dilengkapi dua mesin pengimbas di tingkat bawah yang telah digunakan selama beberapa tahun.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, mesin itu kini rosak menyebabkan pegawai kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menjalankan pemeriksaan secara fizikal ke atas bagasi penumpang pelepasan.

Jurucakap Lapangan Terbang Labuan mengesahkan dua mesin pengimbas itu masih tidak berfungsi.

Iklan

"Mesin itu masih diselenggara. Pemeriksaan beg (penumpang) dilakukan secara manual bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Keadaan itu menyebabkan masa menunggu lebih lama dengan ramai penumpang meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan itu dan keperluan untuk membongkar barangan mereka di tempat awam.

Iklan

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, isu tersebut tidak seharusnya berlaku dan menggesa penambahbaikan segera dilakukan.

"Lapangan terbang seharusnya mempunyai pelan sandaran untuk mengelakkan gangguan seperti ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, insiden itu mencemarkan imej pulau bebas cukai tersebut dan menimbulkan kesulitan tidak perlu kepada pengembara.

"Labuan meletakkan diri sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan. Insiden ini memberi tanggapan negatif dan menyebabkan masalah kepada pelancong serta penduduk,” katanya.

Suhaili menggesa pihak berkaitan untuk mempercepat proses penyelenggaraan dan memastikan langkah luar jangka dilaksanakan supaya insiden itu tidak berulang. - Bernama