'Cucu laung azan tiga kali, rumah macam nak terbang'

Iklan
Keadaan rumah penduduk yang rosak akibat ribut ketika tinjauan di Taman Damai pada Selasa.

BUKIT GANTANG - “Cucu laung azan sampai tiga kali, rasa macam nak terbang satu rumah.”

Demikian kata Jamiah Mat Lazim, 73, menceritakan detik angin kencang yang menerbangkan sebahagian besar rumahnya dalam kejadian ribut di Bukit Gantang pada Selasa.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Jamiah yang tinggal di Taman Sungai Lidin di sini menggigil ketakutan apabila dua pokok mangga tumbang menimpa rumahnya sebelum bumbung diterbangkan angin.

Jamiah

Iklan

Menurutnya, ketika itu dia berada di rumah bersama cucu lelaki berusia 21 tahun.

"Mula-mula hujan biasa saja, lepas itu angin kuat sangat. Bunyi dia lain macam, memang menakutkan. Saya tengah mandi masa tu, sampai menggigil satu badan.

Iklan

"Bila tengok luar, pokok dah tumbang kena rumah. Lepas itu bumbung pula terbang. Semua bilik habis dimasuki air," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Kaya pada Rabu.

Warga emas itu berkata, dalam keadaan panik dan tidak tahu ke mana hendak berlindung kerana hujan serta angin masih kuat, cucunya melaungkan azan berulang kali sebagai ikhtiar meredakan keadaan.

"Dia kata, ‘Tok jangan duduk dekat pintu, nanti runtuh.’ Lepas itu dia azan kuat-kuat sampai dua tiga kali.

"Masa itu memang rasa macam rumah nak terbang. Alhamdulillah, lepas azan tu angin macam perlahan sikit," katanya.

Menurutnya, hampir keseluruhan rumah dimasuki air hujan selepas bumbung dan siling rosak teruk.

"Semua bilik habis basah. Karpet semua rosak. Tinggal dapur saja ada sikit tempat selamat, itu pun dua tiga keping atap saja yang tinggal.

"Tak ada apa yang boleh diselamatkan. Air dah penuh dalam rumah," ujarnya sebak.

Lebih menyayat hati, warga emas itu berkata, rumah berkenaan dibina sendiri oleh arwah suaminya pada 2013 dan didiami hampir 13 tahun.

"Sebelum ini kalau ribut pun sikit-sikit saja. Kali ini memang teruk sangat," katanya.

Jamiah dan cucunya sempat berbuka puasa dalam keadaan rumah bersepah sebelum dipindahkan ke PPS kira-kira jam 9 malam.

"Anak saudara datang tengok dan belikan makanan sebab nak masak pun tak boleh. Bawang semua dah terendam air," katanya.

Antara rumah penduduk yang rosak akibat ribut ketika tinjauan di Taman Damai pada Selasa.

Setakat jam 12 tengah hari Rabu, seramai 45 mangsa membabitkan 28 keluarga dari Taman Damai, Taman Ria, Taman Kaya, Taman Desa Cemerlang, Batu 2 ½ dan Kampung Pak Darus ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya.

Antara lokasi lain yang dikenal pasti terjejas termasuk Kampung Sentosa, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, PPR Simpang Perdana dan Jalan Simpang.

Seorang lagi mangsa, Nor Emylia Mohamad Nor, 31, dari Taman Damai berkata, dia hanya menyedari keadaan sebenar rumahnya selepas pulang menghantar anak ke sekolah kira-kira jam 5 petang.

"Dari luar nampak macam okey saja. Tapi bila masuk dalam, bilik anak dah macam kolam ikan.

"Bumbung pecah, siling jatuh. Air hujan masuk terus. Aircond (penyaman udara), peti sejuk, mesin basuh dan kipas banyak yang rosak," katanya.

Nor Emylia menunjukkan keadaan kerosakan rumahnya akibat kejadian ribut yang melanda pada Selasa.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, ini adalah kejadian ribut kedua berlaku sejak berpindah ke kediaman tersebut Mac tahun lalu.

"Tahun lepas kami beraya di PPS akibat ribut, tak sangka kejadian sama berulang cuma kali ini berpuasa di PPS pula," katanya.

Sementara itu, S Kanageswary, 27, dari Taman Perumahan Awam Batu 2 ½ berkata, ketika kejadian, dia bersendirian bersama tiga anak kecil termasuk bayi berusia dua bulan sementara suaminya masih bekerja.

Kanageswary mengendong bayi kecilnya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya pada Rabu.

"Anak-anak menangis sebab terkejut. Saya pun tak tahu nak buat apa masa itu. Saya cuma fikir nak selamatkan anak-anak. Saya bawa mereka ke ruang tamu, itu saja tempat yang lebih selamat," katanya.

Beliau berkata, ribut yang melanda dalam tempoh kira-kira setengah jam itu mengakibatkan keadaan rumah sewanya berubah sepenuhnya apabila bumbung luar hilang dan beberapa bahagian rumah pecah.

Walaupun kerosakan dialami agak teruk, dia bersyukur kerana tiada ahli keluarganya yang cedera.