Ribut landa Bukit Gantang, 10 keluarga ditempatkan di PPS

Iklan
Antara kawasan yang terjejas akibat ribut yang melanda di sekitar kawasan Parlimen Bukit Gantang. Foto APM Perak.

BUKIT GANTANG – Sekurang-kurangnya 92 orang di sekitar kawasan Parlimen Bukit Gantang terjejas akibat ribut yang melanda kira-kira jam 6 petang pada Selasa.

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam satu kenyataan memaklumkan setakat jam 8.10 malam sebanyak 92 mangsa dilaporkan menyalurkan maklumat kepada pihaknya.

Iklan
Iklan

Pusat khidmat berkenaan memaklumkan, kejadian ribut itu mengakibatkan pelbagai kerosakan membabitkan rumah kediaman, premis perniagaan serta kemudahan awam di sekitar kawasan terjejas.

Antara kerosakan dilaporkan ialah rumah ditimpa pokok, bumbung rumah diterbangkan angin selain bumbung premis perniagaan runtuh.

Iklan

Turut terjejas ialah khemah bazar Ramadan yang patah akibat angin kencang.

Selain itu, bumbung kaki lima Masjid Pengkalan Aur dilaporkan runtuh manakala pagar kubur masjid berkenaan turut mengalami kerosakan.

Iklan

Jelasnya, bumbung Surau Taman Pengkalan Indah juga dilaporkan tercabut, selain terdapat kenderaan yang rosak selepas ditimpa garaj.

 

Antara kawasan yang terjejas akibat ribut yang melanda di sekitar kawasan Parlimen Bukit Gantang. Foto APM Perak.

Sebanyak 10 lokasi dikenal pasti terkesan akibat kejadian tersebut iaitu Taman Kaya, Kampung Sentosa, Batu 2 ½, Kampung Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, PPR Simpang Perdana dan Jalan Simpang.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama memaklumkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Taman Kaya di sini.

"Susulan kejadian ribut dan pokok tumbang yg melanda di kawasan Taman Damai pada Selasa terdapat lebih 10 keluarga yang tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan pada hari ini.

"Sehubungan itu PPS di Dewan Serbaguna Taman Kaya dibuka mulai hari ini jam 6.30 petang," katanya dalam satu pemakluman.

Jelasnya kenyataan itu, kerjasama serta komitmen semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengoperasian PPS ini amat diharapkan bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa yang terjejas di kawasan berkenaan.