PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM50,000 terhadap seorang bekas pembantu tadbir yang disabitkan kesalahan memperdagangkan bayi lelaki berusia 13 bulan dan menggunakan dokumen palsu untuk mendaftarkan kelahiran bayi itu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menolak rayuan terakhir Nurul Faizan Ahmad Asri terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara, Hakim Azman berkata, dapatan fakta oleh Mahkamah Sesyen yang telah dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi adalah tepat dan selaras dengan keterangan dikemukakan.
Pada 19 Januari 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati Nurul Faizan, 41, bersalah atas pertuduhan memperdagang bayi itu atas tujuan eksploitasi dengan memindahkan milikan bayi itu sebagai balasan wang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 5 petang 5 November 2020.
Nurul Faizan turut didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan kedua iaitu menggunakan Borang Daftar Kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara palsu atas nama bayi itu di jabatan terbabit di Jalan Sri Hartamas 1, Off Jalan Dutamas, Kuala Lumpur, pada 10.30 pagi November 2020.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM80,000, atau penjara 24 bulan bagi pertuduhan pertama itu manakala penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua, dengan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula 19 Jan 2024.
Pada 30 Mei 2025, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap Nurul Faizan bagi kedua-dua kesalahan, hukuman penjara serta denda RM10,000, namun mengurangkan denda RM80,000 kepada RM40,000 dengan hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda tersebut.
Pertuduhan pertama dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memnbawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Nurul Faizan diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar dan Marisha Dianah Md Darus manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Aznin Mohamed Ariff dan Iznina Hanim Hashim. - Bernama