Lelaki dipukul, diugut selepas tegur individu potong barisan

Iklan
Tangkap layar video tular individu dipercayai memukul dan mengugut pelanggan sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang di sini.

SUNGAI BULOH - Berang ditegur kerana memotong barisan, seorang lelaki bertindak memukul dan mengugut pelanggan sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan.

Iklan
Iklan

"Suspek kemudian bertindak memukul dan mengugut mangsa sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini tular video di media sosial dipercayai dimuat naik seorang individu yang mendakwa dirinya dipukul dan diugut.

Iklan

Kejadian itu berlaku selepas mangsa menegur lelaki terbabit yang dipercayai memotong barisan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Iklan

Katanya, usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shamie Yosup di talian 013-6463069 atau IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.

"Orang ramai juga boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat," katanya.