SHAH ALAM - Remaja berusia 13 tahun antara individu dikesan berlumba serta melakukan pelbagai aksi berbahaya dalam Ops Motosikal Ekstrem di Dataran Shah Alam di sini, baru-baru ini.
Operasi selama empat hari bermula 6 hingga 9 Oktober lalu itu dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bagi membanteras kegiatan lumba haram serta pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Operasi sama turut menyaksikan beberapa penunggang motosikal cuba melarikan diri namun dengan usaha itu digagalkan pegawai JPJ terlibat.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 30 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19 motosikal disita manakala 24 individu dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
"Daripada jumlah berkenaan, dua individu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42A(2), manakala 22 individu lagi dikenakan tindakan atas kesalahan lain berdasarkan kesalahan masing-masing.
Katanya, antara kesalahan paling banyak dikesan adalah pengubahsuaian motosikal secara ekstrem.
"Antaranya melibatkan pengubahsuaian ekzos, ketiadaan sistem brek belakang, penggunaan tayar tidak mengikut saiz dibenarkan serta pengubahsuaian lengan ayun (swing arm).
"Selain itu, terdapat motosikal yang tidak mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian depan dan belakang serta tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati terdapat motosikal yang diubah suai sehingga menjejaskan aspek keselamatan, termasuk penggunaan ekzos bising dan komponen yang tidak mengikut spesifikasi.
"Penunggang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42A akan dikenakan tindakan sitaan motosikal serta tindakan mahkamah terhadap orang kena saman (OKS).
Mengulas cubaan penunggang melarikan diri ketika operasi, jelas beliau, pihaknya sentiasa menggunakan pengalaman dan kepakaran bagi memastikan keadaan terkawal.
"Risiko cubaan melarikan diri sememangnya ada, bagaimanapun, kami menggunakan pengalaman dan kepakaran yang ada bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal," katanya.
Ahmad Kamarunzaman berkata, golongan muda dinasihatkan agar menyalurkan minat terhadap aktiviti permotoran ke arah yang lebih positif.
"Apa yang penting adalah dengan mematuhi peraturan ditetapkan dan masa sama serta menjauhi kegiatan lumba haram yang jelas menjadi kesalahan dari sudut undang-undang.
"Jadilah pengguna jalan raya yang berhemah dan bertanggungjawab, keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain perlu sentiasa diutamakan," katanya.