Tragedi kepala air: Operasi SAR diteruskan cari tiga mangsa

Iklan
Operasi SAR diteruskan pada Rabu.

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak, Kampung Pertak, di sini diteruskan pada Rabu dengan tumpuan di kawasan jambatan dan empangan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, tiga mangsa berkenaan terdiri daripada seorang warga Yemen dan dua warga India yang masih belum ditemukan setakat jam 8 pagi.

Iklan
Iklan

"Pasukan penyelamat meneruskan pencarian menerusi kaedah pemerhatian di permukaan air, terutama di sektor C membabitkan kawasan jambatan dan sektor D berhampiran empangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ashrul Riezal berkata, operasi SAR hari ini memberi tumpuan di kedua-dua sektor berkenaan dengan menggunakan bot serta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Iklan

"Pasukan K9 dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) akan memulakan pencarian dari sektor B iaitu kawasan kuala empangan sebelum bergerak ke bahagian hulu sungai bersama Malim Gunung Perhutanan Malaysia," katanya.

Anjing K9 membantu operasi SAR mencari tiga lagi mangsa dihanyutkan kepala air.

Iklan

Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula akan meneruskan pencarian di sektor A (Lata Jebus - Lubuk Pertak)

"Dua pasukan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian di sektor C dan D," katanya.

Terdahulu media melaporkan lima daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Isnin telah ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih hilang.

Mangsa pertama, V Vijayan, 36, warga tempatan, ditemukan pada 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa ditemukan pagi Selasa dengan tiga daripadanya dijumpai kira-kira 9.20 pagi di kawasan Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari Lata Jebus, manakala seorang lagi ditemukan pada 10.12 pagi di kawasan Jambatan Gantung, kira-kira satu kilometer dari Lata Jebus.

Dua daripada mangsa berkenaan dikenal pasti sebagai Kapali, 49, warga Nepal dan Kunjanmalayil Bhaskaran, 35, warga India, manakala dua lagi ialah lelaki warga India dan Sri Lanka yang identitinya belum dikenal pasti.

Tiga mangsa yang masih hilang ialah Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20, warga Yaman; Chinnasamy Duraimurugan, 36, dan Monikkoth Raghunath, kedua-duanya warga India.

Dalam kejadian itu, seramai 34 individu daripada empat kumpulan terlibat, dengan lapan lelaki dihanyutkan arus, manakala 26 lagi berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan anggota bomba.

Kesemua lima mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.