SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) 5/2026 bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilihat tidak menepati semangat pemisahan yang sebenar.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), #RasuahBusters dan lima lagi kumpulan masyarakat sivil dalam kenyataan bersama berkata, pemisahan sebenar adalah pemisahan yang dapat menyeimbangkan kuasa pendakwaan serta perlindungan kepada institusi tanpa ada mana-mana satu individu memegang kekuasaan penuh dalam proses tersebut.
Menurut kenyataan itu, RUU pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan tidak mewujudkan tahap kebebasan serta jaminan keselamatan mencukupi dalam pelantikan Pendakwa Raya.
"RUU ini mencadangkan bahawa Pendakwa Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicaranya, atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Kami dengan rendah diri berpendapat, walaupun Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung, beliau terbabit secara tidak langsung melalui pelantikan Pengerusi SPKP yang mana Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri juga merupakan Pengerusi SPKP yang sekarang mempunyai peranan besar dalam pelantikan pendakwa raya.
"Selain itu, RUU ini tidak menjelaskan bahawa hanya nama atau nama-nama yang dicadangkan oleh SPKP mesti dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu menambah, kerajaan juga mencadangkan perubahan dalam pelantikan anggota-anggota lain SPKP (rujuk pindaan kepada Perkara 138(2)(c) Perlembagaan) tanpa alasan yang munasabah.
Jelasnya lagi, ditekankan bahawa sebarang pindaan kepada Perlembagaan bagi tujuan meluaskan kuasa budi bicara mana-mana pihak dibuat atas alasan 'perlu dan berkadaran', setelah diberi peluang semakan terperinci oleh ahli-ahli Parlimen.
"Memandangkan Pendakwa Raya baharu akan memegang kuasa yang besar menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, kami ingin mengingatkan setiap individu berpotensi menjadi defendan dalam prosiding jenayah.
"Dalam kerangka yang dicadangkan melalui RUU ini, persoalan timbul sekiranya berlaku situasi yang memerlukan Pendakwa Raya mempertimbangkan tindakan jenayah terhadap mana-mana anggota atau kerabat diraja.
"Justeru, kaedah terbaik bagi melantik Pendakwa Raya adalah melalui proses berlapis yang telus dan bertanggungjawab, di mana tidak ada mana-mana individu boleh mempunyai budi bicara untuk melantik Pendakwa Raya," ujarnya.
Kenyataan itu turut mencadangkan agar proses pelantikan Pendakwa Raya turut melibatkan Parlimen sebagai institusi terbesar yang dipilih oleh rakyat, yang mana peranan utamanya untuk menjalankan semak dan imbang secara institusi.
"Ini dapat mengelakkan mana-mana individu yang berkuasa untuk melantik Pendakwa Raya tanpa ada semak imbang yang bersesuaian.
"SPKP tidak boleh memainkan peranan ini kerana keahliannya terdiri daripada mereka yang dilantik ke jawatan rasmi oleh Perdana Menteri.
"Pada masa sama, RUU yang dibentangkan tidak mempunyai mekanisme akauntabiliti yang boleh menjadi penghalang kepada salah guna kuasa atau untuk melindungi Pendakwa Raya daripada tekanan tidak wajar," jelasnya lagi.
Kumpulan masyarakat sivil turut memaklumkan, Pendakwa Raya secara asasnya tidak mempunyai had atau perlindungan bagi melaksanakan kuasa dan peranannya.
Pihaknya sekali lagi ingin mengingatkan bahawa kelemahan struktur institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia ada kerana ketiadaan mekanisme akauntabiliti berkesan untuk memastikan semak dan imbang hingga mengakibatkan ketidakpercayaan terhadap institusi itu.
"Berdasarkan kerangka RUU 5/2026, Pendakwa Raya baharu akan mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak tanpa ada ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap tindakannya kepada mana-mana badan yang dipilih rakyat, bahkan kuasanya lebih besar daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Malah, tidak juga seperti Menteri yang mempunyai tanggungjawab langsung kepada Parlimen serta pengundi mereka. RUU yang dibentangkan perlu diperhalusi dengan lebih lanjut dan diteliti sebelum Ahli-Ahli Parlimen mengambil pendirian untuk meluluskan RUU ini," kata kenyataan itu.
Justeru, pihaknya menggesa agar RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JKP) di bawah Peraturan 54 dan/atau Peraturan 80B(3)(a) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Ini supaya jawatankuasa membuat semakan penuh terhadap RUU tersebut dan mengadakan libat urus bermakna bersama pihak-pihak berkepentingan utama.
"Maklum balas yang lebih lengkap akan kami hantar secara bertulis kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dalam masa terdekat," ulas kenyataan itu lagi.