Isu RUU Tadbir Urus AI, keputusan Mahkamah Agung AS tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Iklan
Isu RUU Tadbir Urus AI dan pendirian Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Agung AS akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR - Isu Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) dan pendirian rasmi kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang mengisytiharkan tarif diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump sebagai tidak sah antara yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Rodziah Ismail (PH-Ampang) pada Waktu Pertanyaan Menteri meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana RUU Tadbir Urus AI menangani isu hak cipta dan harta intelek natijah daripada sistem AI dilatih menggunakan data dan maklumat berhak cipta termasuk teks, imej, audio dan video serta perlindungan hak pencipta dan pemegang hak akibat penggunaan karya tanpa kebenaran.

Iklan
Iklan

Selain itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pula meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian rasmi kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang diperkenalkan oleh Trump sebagai tidak sah.

Beliau juga ingin tahu implikasi perkara itu terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.

Iklan

Pada sesi soal jawab pula, Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) bertanyakan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air jumlah kes kecurian elektrik yang berjaya dikesan melalui sistem Distribution Transformer Meter (DTM) dan meter pintar setakat ini, serta anggaran kerugian kewangan yang dialami Tenaga Nasional Bhd (TNB) akibat aktiviti haram tersebut.

Turut tersenarai soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) kepada menteri sama berhubung sebab utama sasaran air tidak berhasil (NRW) sebanyak 31 peratus pada tahun lepas gagal dicapai walaupun RM2.525 bilion telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2025.

Iklan

Beliau juga bertanyakan langkah pembetulan segera dan konkrit yang diambil kerajaan untuk mencapai sasaran 25 peratus menjelang 2030.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Parlimen diteruskan dengan sesi bacaan kali kedua bagi RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 oleh Menteri Kewangan.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dijadualkan membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.1) serta RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026, juga bagi bacaan kali kedua. - Bernama